Roche pilih Malaysia sebagai tapak ujian klinikal pertama terhadap manusia, kata menteri


Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Roche adalah syarikat multinasional terkemuka pertama membawa ujian klinikal FIH berkaitan indikasi bagi penyakit reumatologi ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2024.

GERGASI dalam penjagaan kesihatan Switzerland iaitu Roche Pharmaceuticals memilih Hospital Umum Sarawak sebagai tapak ujian klinikal pertama terhadap manusia (FIH).

Malaysia akan menjadi negara ketujuh dilibatkan oleh Roche bagi kajian itu dan yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Roche adalah syarikat multinasional terkemuka pertama yang membawa ujian klinikal FIH berkaitan indikasi bagi penyakit reumatologi ke Malaysia.

Beliau berkata ekosistem ujian klinikal di Malaysia berkembang pesat dengan lebih 2,300 penyelidikan klinikal tajaan dijalankan sejak penubuhan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) pada 2012.

“Malaysia memiliki potensi besar dalam menjalankan ujian klinikal pelbagai rantau dan kita memiliki penyiasat bertaraf dunia, infrastruktur matang dan komprehensif serta landskap kawal selia teguh bagi memastikan pelaksanaan ujian yang selamat terhadap pesakit kita,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian pada program Keunggulan Penyelidikan Klinikal dalam Fasa Awal dan Pembangunan Individu serta menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara CRM dan Roche di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pemilihan Malaysia sebagai tapak ujian klinikal global FIH Roche membuktikan keupayaan negara yang semakin berkembang dalam ujian klinikal dan hanya dalam tempoh dua tahun selepas Projek Realisasi Fasa 1 CRM (P1RP) siap yang membolehkan ekosistem FIH di negara ini.

Susulan penyiapan P1RP pada 2021 katanya Malaysia menjalankan satu kajian FIH dan dua kajian pertama terhadap pesakit dengan kajian Roche menjadi FIH pertama di Malaysia berkaitan indikasi penyakit reumatologi.

FIH menggunakan ubat eksperimen baharu untuk merawat pesakit dengan Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) iaitu keadaan autoimun yang memberi kesan kepada sendi, kulit, otak, paru-paru, buah pinggang dan saluran darah.

Roche melabur kira-kira RM190 juta dalam ujian klinikal di Malaysia sejak 2012.

Pada majlis itu CRM turut bertukar MoU dengan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) bagi memacu pembangunan bakat dan kemahiran penyelidikan klinikal di negara ini. – Bernama, 4 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen