Calon Pakatan dibanjiri e-mel phishing, panggilan spam


The Malaysian Insight

CALON dan aktivis Pakatan Harapan (PH) mengatakan mereka dibanjiri panggilan spam dan e-mel phishing yang didakwa bertujuan mengganggu saluran komunikasi mereka ketika rakyat Malaysia keluar mengundi pagi ini.

Antara pemimpin PH yang terjejas termasuk Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali; Pengarah Komunikasi Kebangsaan PKR Fahmi Fadzil; exco sementara Selangor PKR, Elizabeth Wong; Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong; dan Zairil Khir Johari daripada DAP.

Lim mendakwa nombor telefon mudah alih mereka juga digunakan untuk membuat panggilan kepada pihak lain.

“Ia melumpuhkan komunikasi kami. Kami tidak boleh menghubungi rakan sekerja kami. Peperangan siber ini, serangan menggunakan teknologi, adalah taktik kotor untuk sabotaj dan mencuri pilihan raya,” katanya.

Lim berkata parti itu menubuhkan sistem komunikasi alternatif untuk melawan serangan itu, tetapi menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia segera menyiasat kejadian itu.

Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata walaupun tidak terbabit, para pembantunya menerima panggilan spam sejak jam 6.00 pagi.

“Panggilan spam ini mengucapkan terima kasih kerana menjawab dan talian dimatikan.

“Kami tertanya-tanya sama ada mereka di Barisan Nasional menghadapi masalah yang sama dengan taktik kotor ini,” katanya.

Naib Pengerusi PKR Perak Chang Lih Kang memberitahu media menerusi kumpulan Whatsapp beliau terpaksa mematikan telefon bimbitnya untuk menghentikan panggilan daripada nombor asing.

“Telefon saya menerima panggilan luar negara tanpa nama sejak 7.30 pagi ini. Ia juga berlaku kepada calon-calon Adun dan Parlimen yang lain. Saya terpaksa mematikan telefon bimbit saya. Maaf di atas segala kesulitan,” katanya.

Pemeriksaan oleh Malaysia Decides juga mendapati laman sesawang rasmi semua parti komponen PKR, DAP, PAS dan PKR tidak boleh diakses. Begitu lama sesawang badan pemikir Invoke dan Roketkini milik DAP.

Wong Chin Huat daripada Institut Pulau Pinang juga berkata beliau dihujanji panggilan spam sejak awal pagi ini.

“Sangat menjengkelkan, panggilan tanpa henti daripada nombor tidak diketahui, kebanyakannya dengan nombor sifar terus masuk. Nampaknya, ia adalah operasi spam untuk melemahkan kami.

“Sama ada dari Alabama, Minesota, Malaysia atau skrin kalkulator, saya terus menyekat semua nombor itu selepas memastikannya ia spam,” katanya di Facebook.

“Bagi rakan-rakan dalam media, saya tidak akan menerima panggilan tidak dikenali. Sila WhatsApp,” kata Wong.

Lebih 14 juta rakyat Malaysia layak mengundi hari ini sebelum pengundian ditutup pada jam 5.00 petang. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen