Ceramah terakhir Pakatan di Pulau Pinang disambut penuh semangat


The Malaysian Insight

TERDAPAT lonjakan tenaga di kalangan orang ramai yang berkumpul di Esplanade, George Town semalam bagi mengikuti ceramah terakhir Pakatan Harapan (PH).

Respons hadirin bersemangat dan penuh keterujaan. Apabila calon Steven Sim, yang mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Mertajam berucap, dan kuat bertanya, “Bolehkah kita menang?”, ia

disambut jawapan, “Kita boleh!”

“Kami bersedia mengubah kerajaan persekutuan!” Tambah Sim dan kedengaran vuvuzela ditiup kuat sebagai tanda menyokong daripada penonton.

Pelajar Mohamad Iqbal, 32, yang datang untuk mendengar ceramah itu, berpendapat PH boleh menang memandangkan pembangkang sudah  10 tahun berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang, dan oleh itu bersedia untuk mengambil alih Putrajaya.

Katanya, PH akan membuat pembaharuan diperlukan sebagaimana dinantikan rakyat.

Terdapat keterujaan ketika bekas pemimpin Umno Rafidah Aziz membuat penampilan khas di atas pentas.

Beliau memberitahu orang ramai sudah tiba masanya untuk berubah. “Anda boleh membuat sejarah esok!” jeritnya kepada orang ramai yang bersemangat.

Rafidah berteriak, “Kita mesti menang!” Telefon bimbit dinyalakan sebagai tanda sokongan daripada penonton.

Kehadiran Kumar Ramoo, 51, bagaimanapun berhati-hati dalam penilaiannya terhadap peluang PH memenangi pilihan raya umum hari ini.

Beliau berasa PH boleh memenangi Pulau Pinang sekali lagi dan mungkin beberapa buah negeri. Tetapi tidak yakin PH boleh mengambil alih Putrajaya.

Beliau hadir di ceramah untuk mendengar ceramah politik serta menunggu amanat akhir daripada Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad menerusi Facebook.

Seorang lagi penyokong, yang enggan dikenali, berkata bilangan hadirin memberi petanda baik, memuji kehadiran penyokong tegar PH.

“Ia akan menjadi perjuangan yang sukar, jadi saya tidak pasti sama ada PH boleh mengambil alih Putrajaya,” katanya.

Pada jam 10 malam, ucapan Dr Mahathir disiarkan melalui Facebook. Orang ramai menontonnya menerusi empat skrin besar yang diletakkan di padang.

Mereka memberi perhatian kepada ucapan Dr Mahathir yang menyentuh, antara lain, pentingnya mendapatkan kembali maruah rakyat dan negara. Ucapanya terus menerima tepuk gemuruh ketika Dr Mahathir menyeru seluruh rakyat bersama-sama menyelamatkan negara.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak ditipu oleh pemberian dan derma ahli politik BN.

“Ini adalah kesempatan terakhir saya untuk membuat sedikit sumbangan demi perjuangan negara tercinta ini,” kata Dr Mahathir yang turut menyentuh hati hadirin.

Selepas ucapan Dr Mahathir, ketua menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng mengambil pentas dengan memberitahu orang ramai jika PH menguasai Putrajaya, salah satu perkara yang akan dilakukan adalah menuntut ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, membayar cukai yang lama tertangguh kepada kerajaan.

“Kami mahu Jho Low ditangkap dan dibawa ke penjara!” Katanya. Orang ramai, yang kebanyakannya mungkin biasa dengan nama yang sering dikaitkan dengan skandal 1MDB, bersorak.

“Ini kalilah!” jerit Lim. Orang ramai membalas positif terhadap jeritan untuk menukar kerajaan.

Ketika itu, orang ramai kelihatan begitu teruja untuk keluar mengundi demi satu perubahan.

Acara berakhir dengan lagu “Negaraku” yang dinyanyikan malam tadi dengan maksud yang sepatutnya: lagu yang dinyanyikan oleh rakyat Malaysia bangga menjadi sebahagian daripada kolektif lebih besar yang dipanggil Malaysia. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen