DALAM ucapan yang ringkas dan padat, Dr Mahathir memfokuskan kepada tiga blok pengundi utama yang kritikal kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam mesej terakhir kempennya.
Calon perdana menteri PH itu cuba mencetuskan perubahan pada saat akhir terutamanya golongan wanita, belia dan rakyat Malaysia amnya sebelum pusat pengundian dibuka.
Beliau memberi penekanan terhadap dua blok utama pengundi - belia dan wanita - yang merupakan separuh daripada 14.8 juta jumlah keseluruhan pengundi.
Dr Mahathir turut merayu kepada anggota pasukan keselamatan agar tidak memihak dan membantu melancarkan proses peralihan kuasa serkianya PH memenangi cukup kerusi Parlimen.
Menurut penganalisis, sasarannya adalah untuk mencetuskan peralihan sokongan pada saat akhir dalam kalangan pengundi, terutamanya masyarakat Melayu kepada PH.
Malah, pakar dan pemimpin PH sendiri telah menyatakan pakatan itu perlu mengalihkan sokongan sekurang-kurangnya 10% pengundi Melayu dalam usaha untuk memenangi 112 kerusi Parlimen.
Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menyatakan bahawa, Dr Mahathir merayu kepada pengundi Melayu agar tidak menggadaikan masa depan mereka kerana rasuah.
60% daripada jumlah pengundi adalah terdiri daripada Melayu dan Bumiputera dan Dr Mahathir sebelum ini mendakwa BN merasuah pengundi dengan duit menjelang hari pengundian.
Malam tadi, beliau sekali lagi merayu dan memberitahu mereka: “Rasuah takkan bertahan. Ia akan habis diguna juga. Tolong jangan gadai negara hanya kerana beberapa ringgit.”
Tema beli undi diulang-ulang sehingga tamat ucapan yang mana beliau merayu kepada masyarakat Melayu agar tidak mudah dibeli.
“Jangan perkecilkan masyarakat kita. Jangan biarkan berterusan ditipu seperti ini.”
Bagi meraih undi golongan wanita, Dr Mahathir berulang kali berjanji untuk memberikan hak kesamarataan jantina yang lebih baik dalam peluang pekerjaan dan gaji, serta akan menamatkan diskriminasi di tempat kerja.
Beliau turut berjanji kepada golongan belia untuk menyediakan latihan kemahiran terutamanya dalam teknologi maklumat sebagai usaha untuk membantu mereka menjana pendapatan yang lebih baik.
Secara umumnya menurut Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang, ucapan itu merupakan kenyataan jaminan dan niat PH bahawa pakatan berkenaan mampu membawa perubahan.
“Beliau mengingatkan rakyat Malaysia mengenai betapa pentingnya untuk tidak dikawal oleh wang, untuk mengekalkan kedaulatan negara dan menghormati perbezaan budaya antara satu sama lain,” katanya.
“Ia seperti sebahagian daripada wawasan 2020. Tiada yang luar biasa tetapi ini juga akan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tidak akan berlaku perubahan mendadak sekiranya PH berkuasa.”
Kepentingan rayuan terakhir Dr Mahathir dapat dilihat bagaimana pada malam yang sama, saingannya Najib Razak menjanjikan lebih banyak insentif dalam ucapan yang berasingan.
“Najib dalam tekanan untuk mencuri perhatian daripada Dr Mahathir ketika dia mengumumkan langkah-langkah populis seperti pengecualian cukai bagi mereka yang berusia bawah 26 tahun dan pengecualian tol lebih lama pada musim perayaan. Ia menunjukkan bahawa Najib sangat terdesak,” kata Wong.
Secara umumnya berbanding dengan ucapan Najib, Awang Azman percaya mesej Dr Mahathir boleh meyakinkan pengundi atas pagar.
“Saya percaya mereka yang mendengar ucapannya dan belum menyokong beliau, pasti akan berbuat demikian pada saat akhir.” – 9 Mei, 2018.
Komen