Walau apa yang berlaku, Dr Mahathir akan terus disayangi Malaysia


The Malaysian Insight

SEPANJANG 93 tahun hayatnya, Dr Mahathir sudah menyaksikan banyak perkara.

Tetapi apa yang berlaku beberapa hari lalu mengejutkan bekas perdana menteri itu. Sekumpulan anak muda keturunan Cina menghampirinya di salah satu perarakan politik dan menegurnya, mereka malah mencium tangannya.

Mencium tangan orang yang lebih tua adalah budaya dan kebiasaan orang Melayu. Tetapi, bukanlah kebiasaan orang bukan Melayu.

Tetapi, sekarang adalah masa yang luar biasa. Norma sosial diketepikan. Stereotaip setiap hari dicanggah.

Masa ini juga masa yang luar biasa untuk Dr Mahathir. Beliau dijulang sebagai hero, penyelamat dan negarawan oleh sebilangan besar rakyat Malaysia yang merasakan mereka cukup bertuah seseorang seusianya sanggup berbuat apa sahaja, menelan ego dan bersatu bersama bekas musuhnya di bawah sepanduk Pakatan Harapan.

Muda dan tua mahu bertemunya, walau sekadar menyentuh baju atau melihatnya dari jarak dekad.

Ketakjuban ramai orang ini adalah pengalaman baru untuk Dr Mahathir.

Ya, beliau berkuasa selama 22 tahun tetapi tempoh itu dipenuhi onak duri tersendiri.

Beliau popular pada 1995 ketika pertumbuhan ekonomi kukuh, pasaran saham melonjak tinggi, visi dan pelan besar dan kukuh untuk Malaysia selain membenarkan orang Cina Malaysia melawat China membolehkan beliau dan Barisan Nasional yang diterajuinya menikmati zaman gemilang pilihan raya.

Tetapi zaman gemilang itu tidak lama dinikmatinya, kerana Krisis Kewangan Asia yang melanda Malaysia pada 1997, kemudiannya skandal pemecatan dan pemenjaraan Timbalannya, Anwar Ibrahim.

Kejadian itu mencemarkan imej Dr Mahathir di dalam dan luar negara. Beliau tidak pernah bangkit kembali. Beliau digeruni dan ditakuti ketika itu. Bukan disanjung atau disayangi.

Malah selepas Dr Mahathir meletak jawatan pada Oktober 2004, ramai rakyat masih ingat kepedihan dan keperitan tahun-tahun sukar penahanan tanpa bicara dan kronisme yang membelenggu pentadbirannya.

Era selepas itu hanyalah era kelegaan seorang pentadbir ala kuku besi sudah terhenti dan seseorang yang gaya pentadbirannya sangat berlainan mengambil alih bertindak sebagai perdana menteri.

Persaraan adalah zaman yang penuh campur baur untuk Dr Mahathir. Persoalan dibangkitkan tentang kebolehdayaan projek gergasinya dan peranannya dalam institusi negara yang melumpuh. Nilai sebenar legasi Dr Mahathir dicabar.

Beliau hilang daripada muka-muka akhbar yang satu ketika dahulu mendewakannya.

Dr Mahathir tenggelam timbul dalam fikiran rakyat, sesekali muncul apabila mencabar kepimpinan Ahmad Badawi ketika itu yang memaksa bekas perdana menteri itu berundur pada 2009, setahun selepas keputusan pilihan raya umum yang mengecewakan.

Ada ketakjuban yang menggerunkan kerana kesedaran beliau masih berupaya fizikal dan akal untuk menewaskan musuhnya. Tetapi, tidak ada desakan kuat untuknya kembali ke arena politik atau perasaan sayang kepada sosok ini.

Malah, persoalan kekukuhan legasinya terus memburunya, terutama sekali selepas kerajaan terpaksa menyelamatkan Proton.

Jauh berbeza dengan apa yang sedang berlaku sekarang.

Hari ini Dr Mahathir menerima sanjungan daripada orang Melayu, Cina dan India. Sekarang beliau adalah salah seorang daripada kita- ahli pergerakan yang mahukan perubahan berlaku.

Sekarang beliau luahkan apa yang kita rasa kepada dan tentang Najib Razak. Sekarang, beliau adalah sekutu kita.

Rasa kecintaan ini juga timbul kerana kita rasa bersyukur di usia senjanya, Dr Mahathir bersedia untuk bekerja lebih kuat daripada sesiapapun semata-mata untuk mengalahkan Najib dan Barisan Nasional.

Beliau juga senada dengan rakyat, beliau mahukan perubahan.

Kejayaan hari ini akan menjadi zaman paling gemilang untuk Dr Mahathir 2.0.

Tetapi walaupun Najib tak berjaya disingkirkan, Dr Mahathir akan keluar daripada musim PRU14 dengan imej kekal abadi, legasinya terpahat kukuh dan generasi baharu Malaysia yang mengenali dan menyayanginya.

Apapun yang berlaku hari ini, Dr Mahathir akan sentiasa dikenang dengan penuh kasih dan sayang. Tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikirannya yang nasibnya akan berubah begitu sekali. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen