Beri kami 5 tahun, rayu Hannah kepada penyokong BN, PAS


The Malaysian Insight

CALON Pakatan Harapan (PH) Segambut Hannah Yeoh merayu agar penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS memberi peluang kepada gabungan pembangkang itu untuk membuat perubahan.

Beliau berkata mereka boleh mengundi semula parti yang disertai mereka jika tidak berpuas hati dengan pentadbiran PH.

“Saya rayu kepada anda (penyokong) Umno, MCA, MIC, Gerakan dan ahli MyPPP, serta ahli PAS, untuk memberikan kami peluang hanya lima tahun.

“Jika kami tidak lakukan (amanah) dengan baik, anda boleh mengundi pemimpin anda sekali lagi,” kata bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam ceramah terakhirnya di Segambut sebelum tempoh berkempen melabuhkan tirainya tengah malam ini.

“Itulah adalah hak anda, jangan biarkan pemimpin anda terus berbohong kepada anda, terus memberitahu anda bahawa mereka memberi harapan kepada anda, itu harapan palsu.”

Beliau berkata mereka harus mengundi tanpa rasa takut kerana setiap undi adalah rahsia.

“Undilah Pakatan Harapan, cubalah, anda tidak akan tahu selagi anda tidak cuba, tetapi bagi yang lain yang telah merasainya (pentadbiran PH), ini bagus, saya katakan, ini bagus,” kata bekas wakil rakyat Subang Jaya dari DAP itu.

Ahli politik berusia 39 tahun itu juga memberi penghormatan kepada pemimpin tertinggi pembangkang, iaitu Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail serta Lim Kit Siang kerana sanggup mengetepikan perbezaan pandangan dan bersedia bekerjasama demi bangsa.

“(Ketika Dr Mahathir menjadi) Perdana menteri, negara-negara di sekitar Malaysia menghormati Malaysia tetapi hari ini mereka memotong wajahnya dari papan iklan, mereka mengatakan segala perkara yang jahat kepadanya.

“Tetapi saya percaya dalam hatinya, ada cinta yang besar untuk negaranya, dan dia tidak bersedia untuk meninggalkan dunia ini melihat bangsa ini hancur,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan Wan Azizah kerana mengetepikan masalah peribadi demi menyelamatkan malaysia.

Beliau juga berkata Lim terpaksa mengembara ke seluruh negara untuk menyakinkan veteran dan akar umbi DAP untuk menyokong Dr Mahathir yang pernah dimusuhi partinya itu suatu ketika dahulu.

“Orang seterusnya adalah keluarga Tok Guru Nik Aziz, yang anak-anak mereka duduk dalam parti berbeza dan menentang antara satu sama lain.

“Dan bagi Nik Omar untuk melangkah ke hadapan ... untuknya melakukan perkara itu bagi pihak semua rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih.” – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen