Orang Cina tak pernah minta jadi PM, kata Rafizi 


The Malaysian Insight

ORANG Cina tidak pernah meminta untuk menyandang jawatan perdana menteri seperti yang ditakut-takutkan Umno kerana sedia maklum Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia, kata Rafizi Ramli.

Tetapi katanya adalah tugas rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin yang adil dan bertanggungjawab kepada semua tanpa memilih bulu.

“Orang Cina, India, Melayu bandar hanya minta satu benda, mereka minta supaya oleh kerana orang Melayu paling ramai dalam negara ini, majoriti sudah tentu Melayu akan memimpin.

“Kita mesti pilih (sama ada) orang Melayu kampung, orang Melayu bandar, separa bandar, mesti pilih orang Melayu yang jujur, rajin, cerdik. Mesti pilih yang adil kepada semua… Cina yang miskin, adil kepada India yang miskin, kepada orang Melayu miskin 

“Barulah semua akan hormat kepada pimpinan Melayu macam ini,” katanya pada rapat umum kemuncak untuk calon Pakatan Harapan bagi kawasan Parlimen Segambut, Hannah Yeoh malam tadi.

Menurut Rafizi, rakyat Malaysia mampu menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional dan mengubah negara jadi lebih baik.

“Kita berdoa esok tidak ada lagi orang Melayu, orang Cina, orang India, Iban, Kadazan. Yang ada orang Malaysia,” katanya. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen