TIMBALAN Presiden Warisan Darell Leiking membuatkan pengundi Sabah yang menghadiri Ceramah Akhir Warisan-PH di Lido, Penampang malam ini ketawa besar seterusnya mengurangkan ketegangan pilihan raya.
Leiking berkata orang Sabah akan mencipta sejarah jika mereka menyingkirkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Sabah sejak kejatuhan kerajaan Parti Bersatu Sabah pada 1994.
Katanya, generasi pemimpin BN sekarang sepatutnya diletakkan dalam “muzium” selepas berkuasa lebih dua dekad lamanya.
“Esok (9 Mei) orang Sabah akan mencipta sejarah kerana orang Sabah sudah muak dengan rejim Barisan Nasional. Kita akan hantar orang lama ini ke muzium dan esok orang Sabah akan mengundi dan menyingkirkan mereka dan membentuk kerajaan baru,” katanya kepada hampir 2,000 orang yang hadir.
Turut hadir ialah calon Warisan-PH Tan Lee Fat (Likas-DAP), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-DAP), Jannie Lasimbang (Kapayan-DAP), Christina Liew (PKR – Api Api and Tawau), Phoong Jin Zhe (Luyang-DAP), Jenifer Lasimbang (Moyog-Warisan).
Sebelum itu, calon DAP untuk Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mengulangi manifesto PH untuk Sabah, mengatakan mereka selari dengan manifesto Warisan dan kerana itu kedua-dua parti boleh membentuk kerajaan campuran.
“Terdapat tujuh perkara dalam manifesto PH termasuklah desak mengembalikan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963, pengangkutan dan komunikasi, jana tenaga, sumber manusia dan keselamatan sosial, dan kesihatan.
“Antara yang selari, Warisan juga mahu mengembalikan autonomi, pendidikan dan kuasa negeri untuk menentukan gaji minimum,” katanya.
Chan berkata dalam pendidikan pula, DAP mahu sekolah menyemak semula buku sejarah supaya kanak-kanak Sabah boleh belajar tentang sejarah Sabah berbanding sekarang yang lebih banyak tertumpu kepada sejarah Semenanjung.
“Kita mahu anak-anak kita lebih faham tentang Sabah dan sejarahnya dan juga membentuk sejarah kita sendiri,” katanya. – 9 Mei, 2018.
Komen