Ketua pembangkang Korea Selatan diserang ketika lawat Busan


Ketua Pembangkang Korea Selatan Lee Jae Myung diserang semasa mengadakan lawatan ke bandar pelabuhan Busan hari ini. – Gambar AFP, 2 Januari, 2024.

KETUA Pembangkang Korea Selatan Lee Jae Myung diserang semasa mengadakan lawatan ke bandar pelabuhan Busan hari ini, lapor agensi berita Yonhap.

Lee, pengerusi Parti Demokratik diserang di bahagian kiri leher oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sesi soal jawab selepas meninjau tapak pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Gadeok di Busan.

Lee dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Pusan kira-kira 20 minit selepas serangan.

Suspek berpura-pura sebagai penyokong Lee untuk mendekati ahli politik itu sambil meminta tandatangan sebelum menyerang menggunakan senjata tajam sepanjang kira-kira 20-30 sentimeter, menurut saksi.

Dia ditahan di tempat kejadian.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pemimpin pembangkang itu dan mengarahkan polis dan pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan siasatan segera, menurut jurucakapnya Kim Soo Kyung. – Bernama, 2 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen