PENGECUALIAN cukai untuk anak muda, cuti dan lima hari tol percuma sempena Hari Raya diumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Najib Razak tidak banyak memberi kesan kepada keputusan pengundi disebabkan ia lewat diumumkan.
Dengan tempoh pengundian hanya kurang lapan jam akan bermula, penganalisis juga percaya yang kebanyakan pengundi sudah membuat keputusan pihak mana akan menerima undi mereka.
“Siapa yang tengok Najib sekarang? Ini pemimpin yang terdesak yang terus menggunakan dana awam dan cuti umum untuk beli pilihan raya. Tidak malu dan memalukan,” kata ahli politik ekonomi Andrew Aeria.
“Saya rasa kebanyakan orang sudah buat keputusan dan tidak akan ada perubahan corak pengundian saat akhir,” katanya menambah yang pengumuman itu kelihatan disasarkan kepada pengundi Melayu.
Dalam amanat terakhir kempennya, siaran langsung dari tempat kelahiran di Pekan, Pahang, Najib membuat “tiga pengumuman mengejutkan” sekiranya Barisan Nasional kembali berkuasa.
Najib berjanji memberikan pengecualian cukai kepada belia berumur bawah 26 tahun; mengisytiharkan cuti umum khas pada 14 dan 15 Mei; dan tol percuma di Semenanjung selama lima hari sempena Hari Raya Jun nanti.
Awang Azman Awang Pawi daripada Jabatan Sosio Budaya Universiti Awam pula berkata walaupun pengecualian cukai mungkin nampak seperti “berita baik” untuk orang muda, beliau percaya kesannya “terhad.”
“Pengumuman ini tidak akan tersebar meluas kerana ia berlaku saat-saat akhir. Hasilnya, keputusan akan terhad. Ramai yang mereka berusia 26 dan muda tak dapat RM3,000. Mana ada cukai pendapatan?” katanya.
“Pengumuman tol percuma juga kesannya terhad kerana rakyat sudah berharap tol dimansuhkan sepenuhnya seperti dijanjikan Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar pula berkata yang ucapan perdana menteri kontang idea.
“Perdana menteri sepatutnya lebih hati-hati. Dia perlu sedar yang BN dalam kedudukan paling rapuh dan penting supaya memberikan keyakinan,” katanya dalam temubual langsung dengan Astro Awani.
“Tetapi melihat prestasinya, saya rasa ada kegoyahan dalam keyakinan partinya. Jelas sekali yang ia manifesto tambahan.
“Tetapi pengumuman tiba-tiba bermaksud pengundi tak cukup masa untuk hadam semuanya. Antara (ucapan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad) dan BN, ada perbezaan antara mengekalkan prestasi dan menawarkan harapan baru. Menawarkan harapan meraih imaginasi lebih ramai,” katanya.
Marques Jeevan Meon, seorang penolong pengarah Jabatan Perdana Menteri yang turut hadir ketika temubual langsung itu mengatakan kebanyakan anak muda bukanlah pembayar cukai: “Isunya adalah berapa ramai anak muda yang bayar cukai. Kita perlu tahu jumlah. Berapa ramai?”
Marques yang bekerja di Seksyen Inovasi dan Kelestarian menambah yang penyampaian Najib kelihatan tidak menyakinkan: “Jika saya mahu pandang tinggi seseorang yang saya mahu pilih, saya mahu lihat semangat mereka, penyampaian mereka.”
“Penyampaiannya teruk. Dia kerap tengok kertas. Saya tak kata dia tak ada semangat. Bagaimanapun, penyampaian penting terutama bila anda mahu dekati khalayak yang lebih muda,” kata Marques yang merupakan pengasas bersama Nation Building School, sebuah pusat latihan anak muda.
“Orang muda mahu tahu mengapa mereka ditawarkan insentif itu. Tetapi jika anda tawarkan dalam tempoh singkat, sama ada ia ada kesan atau tidak, kita hanya boleh tahu esok (hari ini).” – 9 Mei, 2018.
Komen