DI usia 92 tahun, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan peluang terakhirnya untuk menyelamatkan Malaysia.
Beliau justeru itu menyeru pengundi agar bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) demi memulihkan semula negara.
Dalam ucapan selama 20 minit yang disiarkan secara langsung serta disaksikan ratusan ribu penyokong, pengerusi PH itu berkata beliau sering ditanya mengapa tidak memilih untuk bersara.
“Saya sedar saya sudah tua. Tidak ada banyak masa lagi untuk saya. Ramailah yang berpendapat saya patut rehat sahaja.
“Ya. Saya ingin berehat. Tetapi ramai rombongan yang datang berjumpa saya, meminta saya buat sesuatu untuk menghentikan kerosakan yang sedang berlaku dalam negara,” kata Dr Mahathir dalam amanat khasnya di Langkawi malam ini.
“Tak tergamak saya menghampakan desakan mereka.”
Dr Mahathir, yang memerintah dari tahun 1981 sehingga 2003, berkata ini adalah peluang terakhir beliau untuk melakukan sesuatu untuk negaranya.
“Ini adalah kali terakhir yang dapat saya sumbang sedikit dalam perjuangan untuk negara tercinta ini.
“Bukan jawatan yang saya cari. Bukan kekayaan dan bukan pangkat. Yang ada pada saya mencukupi.
“Tetapi kebahagiaan dan kemerdekaan negara tercinta ini, negara di mana kita dilahirkan, kita membesar dan kita menikmati kehidupan yang selesa. Inilah sahaja yang saya hargai - bangsa saya, negara saya dan agama saya.”
Dr Mahathir menamatkan ucapannya - yang terakhir untuk pilihan raya - dengan mengulangi seruannya agar semua pengundi memilih PH esok.
“Saya rayu supaya rakyat membantu Pakatan Harapan untuk memulih dan menyelamatkan negara tercinta ini. Rakyat secara sendirian tidak dapat selamatkan diri dan negara.”
Ucapan secara langsung itu disiarkan menerusi Facebook, serentak dengan ucapan Najib Razak di Pekan, Pahang. – 8 Mei, 2018.
Komen