PENGUNDI di kawasan Parlimen Batu bernasib baik kerana mempunyai “dua wakil” dan bukannya seorang, kata aktivis peguam Ambiga Sreenevasan dalam ceramah di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur malam tadi.
Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata kehilangan kelayakan bertanding penyandang Batu Chua Tian Chua harus dilihat sebagai rahmat tersembunyi.
“Saya tahu anda tidak merasakan penolakan pencalonan Tian Chua sebagai sesuatu yang bernasib baik tetapi kadang-kadang perkara baik keluar dari perkara-perkara buruk dan ini adalah salah satu daripadanya.
“Rakyat Batu beruntung kerana anda mendapat dua orang yang mengambil berat tentang Batu,” katanya kepada orang ramai.
Penyandang Parlimen Batu selama dua penggal, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, hilang kelayakan bertanding berikutan denda sebanyak RM2,000 yang dikenakan mahkamah terhadapnya.
“Besok kita boleh lupa tentang rasuah jika kita menukar kerajaan.
“Kita boleh mempunyai pemimpin yang baik, dan kita mempunyai pemimpin yang baik,” kata Ambiga, merujuk kepada calon bebas P. Prabakaran, 22, yang dianggapnya mencurahkan tenaganya demi kemakmuran Malaysia.
“Saya ingat ketika saya berumur 22 tahun, saya tidak dapat mengambil tanggungjawab ini. Tidak sesiapa pun boleh mengambil tanggungjawab seumpama ini untuk negara ini.
“Dia mempunyai mentor terbaik di negara ini, jadi tidak ada kebimbangan, kerana anda mempunyai Tian Chua di samping anda,” katanya.
Ambiga menambah bahawa Malaysia tidak pernah “bangkit” seperti ini sejak tahun 2013 dan yakin BN akan tumbang kali ini.
“Pada tahun 2008 BN telah kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, pada tahun 2013 BN kehilangan undi popular, pada tahun 2018 kita pasti akan melihat BN tumbang.
“Prabakaran, kami bersama anda dan kami semua yang berada di sini akan menyokong anda,” katanya.
Kepimpinan Pakatan Harapan sebulat suara menyokong Prabakaran selepas Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding, sambil menegaskan bahawa undi untuk Prabakaran adalah undi untuk PH.
Kerusi Batu bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dominic Lau Chai Hoe dari Barisan Nasional, Azhar Yahya dari PAS dan dua orang calon bebas iaitu Prabakaran dan V. M. Panjamothy.
Batu mempunyai 76,328 pengundi, 42.52% daripadanya adalah Melayu, Cina (38.28%) dan India (17.46%). – 8 Mei, 2018.
Komen