Tanpa tokoh besar, angin perubahan tetap dirasai di Johor


The Malaysian Insight

WALAUPUN tokoh-tokoh besar pembangkang tidak singgah di Johor, angin perubahan pengundi masih dapat dapat dirasai di negeri itu, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata, angin perubahan pengundi yang menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih Pakatan Harapan (PH) dapat dilihat dalam ceramah-ceramah anjuran mereka yang memperlihatkan kehadiran sehingga 20,000 pengundi.

“Mungkin masa tak mengizinkan semua tokoh untuk turun ke Johor, mereka berhenti setakat Melaka, tidak seberang Sungai Muar. 

“Johor tidak dikunjungi Dr Mahathir Mohamad, Nik Omar Nik Abdul Aziz, Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin, tanpa tokoh utama ini di Johor kita saksikan himpunan 10,000, 15,000, malah sehingga 20,000. Ini yang membuktikan bahawa kita di Johor bukan kata kita tak perlukan tokoh-tokoh ini.

“Tapi inilah isyarat menunjukkan bahawa rakyat Johor apa pun berlaku, bersedia mengundi esok bahawa gelombang kemenangan kali ini adalah datang daripada angin sepoi-sepoi bahasa Selat Johor disambung angin Selat Melaka bermulalah langkah ke Putrajaya,” katanya.

Calon kerusi Parlimen Pulai itu berkata demikian di hadapan 300 penyokong dan jentera PH di Ibu Pejabat Bersatu Johor, malam tadi sempena menantikan amanat khas Dr Mahathir yang dipancar secara langsung.

Salahuddin yang bakal berhadapan Nur Jazlan Mohamed dari BN di kerusi itu berkata, lonjakam sokongan rakyat dapat dilihat apabila tokoh-tokoh utama itu bergabung membantu pembangkang.

“Kemunculan Nik Omar adalah anugerah Allah untuk kita yang membawa gelombang baru dari Pantai Timur. 

“Bila Nik Omar bergabung dengan gelombang Dr Mahathir maka gelombang ini membentuk satu tsunami rakyat berlipat kali ganda apabila datang ke majlis kita,” tambahnya.

Selain Dr Mahathir, Perdana Menteri sementara Najib Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang masing-masing turut mengadakan lintas langsung dalam usaha terakhir menarik sokongan pengundi dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung esok. – 9 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen