Dr Mahathir tawar harapan, Najib beri ‘gula-gula’


The Malaysian Insight

MAHU tahu seteruk mana negara kita sekarang?

Bandingkan ucapan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada negara dengan Najib Razak.

Dalam ucapan yang mengimbau kembali tahun-tahun sebelum ini, ketua Pakatan Harapan itu bercakap tentang mengembalikan semula maruah negara; tentang hidup harmoni dan hormat satu sama lain.

Dr Mahathir juga bercakap tentang kesaksamaan untuk wanita dan memberi suara kepada anak muda Malaysia.

Beliau menceritakan tentang kebangkitan Malaysia dan bagaimana kita bangkit jadi Harimau Asia.

Beliau menggesa rakyat Malaysia mengundi untuk perubahan dan menolak falsafah “wang adalah raja” amalan Najib.

Pada masa sama dalam siaran langsung ke seluruh negara, Najib menghamburkan “gula-gula” terbarunya kepada pengundi. Sekali lagi, beliau membuktikan yang taktiknya hanya satu.

Bila ragu-ragu, tabur sahaja duit.

Sepanjang kempen pilihan raya, Dr Mahathir kerap menuduh Najib tiada modal.

Malam tadi, Najib mengumumkan yang tidak akan cukai pendapatan untuk mereka berusia bawah 26 tahun.

Beliau juga kata jika BN menang hari ini, dua cuti umum dan tol percuma selama lima hari semasa Hari Raya akan diberikan.

Dengan menawarkan gula-gula itu, Najib mengesahkan kepercayaannya yang pengundi Malaysia boleh dibeli dengan wang.

Malam tadi, seorang pemimpin menggariskan cabaran yang perlu didepani Malaysia dan mengajak kita bersatu tenaga. Seorang lagi sibuk menabur gula-gula. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen