Rafidah beritahu rakyat Pulau Pinang jangan lepas peluang cipta sejarah


The Malaysian Insight

RAFIDAH Aziz menyemarakkan semangat ribuan pengundi Pulau Pinang pada ceramah mega terakhir Pakatan Harapan (BN) di Esplanade, dengan berkata sejarah boleh tercipta dengan undi mereka.

“9 Mei ialah hari di mana anda boleh mencipta sejarah dengan undi anda. Ini merupakan pertama kali dalam sejarah negara di mana rakyat akan dapat mengubah kerajaan.

“Selepas 60 tahun, syarikat sama yang mengurus negara tidak boleh lagi diberikan kontrak. Tak boleh sambung lagi.

“Siapa yang putuskan? Anda semua yang akan tentukan esok sama ada akan menyambung kontrak untuk lima tahun lagi atau beri kepada PH. Undi anda akan jadi sejarah. Jangan lepaskan peluang ini,” kata Rafidah di hadapan ribuan hadirin.

Rafidah merupakan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Beliau kini antara salah seorang bekas pemimpin Umno yang berkempen untuk PH yang diketuai oleh bekas bosnya itu dalam pilihan raya kali ini.

Umno pada minggu lepas telah memecat Rafidah.

Beliau mendapat sorakan dari hadirin sebaik saja sampai di tapak ceramah bersama ketua menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng. Mereka meniup ‘vuvzelas’ dan mengibarkan bendera PKR yang menggunakan simbol mata yang digunakan oleh semua calon PH. 

Rafidah yang 35 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat ketika dalam Umno, berkata golongan senior seperti beliau hanya boleh membimbing generasi muda bagaimana mereka perlu mengundi.

Beliau menggesa pengundi supaya berfikir sebagai rakyat Malaysia yang berkongsi masalah dan haluan yang sama.

“Esok anda undi PH dan berfikir bukan untuk diri sendiri tetapi untuk anak dan cucu anda. Saya ada lima orang cucu. Kalau anda nak berubah, maka lima cucu saya boleh tumpang sama.

“Pilihan anda mudah saja. Jangan tengok simbol lain,” katanya.

Rafidah berkata PH melambangkan satu gabungan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan rakyat berkongsi aspirasi serta harapan untuk masa depan yang lebih baik.

Dalam ucapan awalnya pada ceramah berasingan di Butterworth, bekas menteri itu turut berkata PH melambangkan semangat Malaysia yang menyatu padukan rakyat.

“Saya tak pernah membayangkan DAP akan buat begini. Ia membuatkan saya nak datang dan berucap.

“Untuk pertama kali dalam sejarah, kita ada kepimpinan yang bersatu macam ini yang bekerjasama untuk rakyat biasa.”

Rafidah juga meminta pengundi menghantar ahli parlimen yang mencukupi ke Dewan Rakyat dan mengekalkan pentadbiran PH di Pulau Pinang dengan memastikan kesemua calon PH di negeri itu menang dalam PRU14.

“Pulau Pinang di bawah PH mungkin tak dapat A++ tapi B++. Biarkan PH terus mentadbir. Anda boleh menukar kerajaan Persekutuan.” – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen