BN akan ganggu proses peralihan kuasa, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad menjangkakan gabungan pembangkang yang dipimpinnya itu akan menang dalam pilihan raya kali ini, tetapi memberi amaran bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengganggu kelancaran proses peralihan kuasa.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung dari Langkawi, pemimpin berusia 92 tahun itu berkata pembangkang sebelum ini gagal menewaskan BN kerana pengundi tidak yakin dengan kemampuan mereka untuk melakukan perubahan terhadap negara.

“Tetapi kali ini, PRU ke-14 ini, tugas dan tanggungjawab pembangkang tidak sahja setakat membangkang tetapi pembangkang mesti kalahkan BN dan diri kerajaan baru,” katanya.

Dr Mahathir turut menyatakan keyakinan bahawa PH mampu mencapai kemenangan besar pada PRU14 kali ini.

“Kali ini besar kemungkinan pertukaran kerajaan akan berlaku.

“Segala percubaan untuk menghalang pertukaran ini mungkin akan dicuba.

“Adalah diharap pihak polis dan angkatan tentera Malaysia tidak akan abaikan tanggungjawab mereka apabila Perlembagaan dan undang-undang negara dicabul,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menyeru agar kaum Melayu menolak BN demi menebus maruah dan masa depan anak-anak mereka.

“Di mata mereka, diri kita, maruah kita boleh dibeli dengan wang ringgit. Begitu hinanya kita. Janganlah biarkan bangsa kita terus dihina dan diperkecilkan sebegini. Jangan biarkan bangsa kita terus menerus diperbodohkan.

“Duit sogokan yang diperolehi tidak kekal. Tidak lama lepas duit sogokan diterima akan habislah duit itu dibelanja. Janganlah kerana duit yang sedikit ini kita sanggup gadai negara kita. Inilah yang akan berlaku jika Najib terus jadi perdana menteri,” katanya.

Dr Mahathir yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun, memberi penghormatan kepada kaum wanita dan berjanji untuk memastikan sebarang bentuk diskriminasi terhadap golongan itu dihentikan.

Katanya lagi pembangkang juga berharap untuk menyediakan latihan dan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk golongan belia bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.

“Pemuda-pemudi adalah pewaris segala-gala yang kita usaha sekarang, mereka mesti diberi suara lebih awal.

“Mereka tentu lebih tahu kehendak mereka dari orang yang sudah dewasa. Tetapi gandingan antara yang muda dengan yang tua perlu diadakan,” ujarnya.  – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen