PERDANA Menteri sementara Najib Razak malam ini mengumumkan tiga insentif tambahan kepada rakyat Malaysia sekiranya Barisan Nasional (BN) yang diterajuinya menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok.
Dalam perutusan khas dari Pekan, Pahang, Najib berkata semua warga Malaysia berumur 26 tahun tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana dikecualikan bermula tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya.
Pengecualian cukai itu berkuat kuasa serta merta, tambahnya.
“Ini sekaligus bermakna, bagi cukai pendapatan yang telah pun dibayar pada tahun sebelumnya, akan dikembalikan semula kepada mereka, jika Barisan Nasional diberi mandat,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen utama.
Najib turut mengumumkan cuti peristiwa khas selama dua hari pada Isnin dan Selasa depan, 14 dan 15 Mei. Kebanyakan negeri di Malaysia akan bercuti pada Rabu sempena sambutan bulan puasa.
Najib juga mengumumkan tiada bayaran tol dikenakan kepada pengguna lebuh raya di seluruh negara selama lima hari bermula dua hari sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri.
Dalam ucapannya hampir 25 minit, Najib turut mengingatkan akan janji BN menggandakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada Jun dan Ogos ini sekiranya diberi mandat jadi kerajaan sekali lagi.
Ucapan Najib berlangsung serentak dengan perutusan khas pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dari Kuah, Langkawi yang dipancarkan melalui YouTube dan Facebook.
Dalam ucapannya yang turut ditayangkan di hampir seluruh tapak ceramah PH malam ini, Dr Mahathir mengingatkan rakyat Malaysia kenapa BN harus ditumbangkan pada PRU14 ini.
Katanya, Malaysia mesti diselamatkan daripada kleptokrasi dan dikembalikan kepada jalan demokrasi.
Calon Perdana Menteri PH itu juga berkata sogokan yang diberikan oleh BN tidak kekal dan tidak sepadan dengan negara yang digadai.
Najib yang mengetuai kempen BN pada PRU14 ini meminta mandat daripada lebih 14.6 juta pengundi yang akan membuat pilihan esok. – 8 Mei, 2018.
Komen