ADA dua sebab mengapa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yakin mereka mampu merampas semula Perak - Umno yang lemah dan kerana usaha parti serpihannya, Bersatu yang masuk ke kawasan kampung.
Pengarah Pilihan Raya Perak Nizar Jamaluddin memberitahu Malaysia Decides yang PH yakin menang 35 kerusi daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang pertama kali dimenangi pembangkang di bawah Pakatan Rakyat pada 2008 namun diramspas semula Barisan Nasional (BN) setahun kemudiannya menerusi pembelotan 2 wakil PKR dan seorang wakil DAP.
“Kami akan kekalkan undi popular dan menang lebih banyak kerusi. Apabila rakyat Perak mengundi untuk perubahan pada 2008, Umno masih kuat, tetapi sekarang sudah goyah,” kata Nizar, yang merupakan bekas menteri besar Perak.
“Bersatu berkempen menggunakan cara Umno dengan mengadakan perhimpunan kecil atau ceramah kelompok di kampung-kampung,” kata Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu, yang sebelum ini bersama Umno Ipoh.
Perhimpunan kecil ini membantu Bersatu bertemu pengundi secara lebih dekat dengan lebih banyak ruang berinteraksi secara peribadi, tidak seperti ceramah-ceramah besar seperti yang dilakukan PKR dan DAP.
Malahan, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad langsung tidak berkempen di Perak, sebaliknya di negeri-negeri lain di Semenanjung. Menurut Nizar, Dr Mahathir datang ke negeri itu cuma sekali sebelum kempen bermula.
Kedua, sedang persempadanan semula pilihan raya baru-baru ini bertujuan untuk memberi kelebihan kepada Umno, Nizar berkata ia sebaliknya mungkin satu kesilapan kerana penyokong parti itu beralih ke PH.
“Sejarah 2008 akan berulang dengan sendirinya pada 2018 dan kali ini perubahannya lebih besar” kata Nizar.
Pada 2008, pembangkang membentuk kerajaan apabila menang 31 kerusi dengan 51.1% undi popular.
Selepas merampas semula Perak pada 2009, BN mengekalkan pentadbiran di negeri itu pada 2013 apabila menang 31 kerusi dengan 44.4% undi poppular. Sembilan daripada 31 kerusi tersebut dimenangi dengan kurang daripada 1,000 undi.
Berbanding Nizar, badan pemikir PKR, Invoke Malaysia jauh lebih optimistik.
Berdasarkan tinjaun ke atas 858 pengundi di Perak, Invoke meramalkan PH akan menang 38 kerusi DUN dan 16 daripada 24 kerusi parlimen di negeri itu.
Ini berdasarkan kepada sokongan tinggi pengundi bukan Melayu terhadap PH dan peralihan sokongan Melayu dari BN ke PH.
Menurut tinjauan Invoke lagi, BN akan memenangi 21 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen, manakala PAS akan kalah teruk tanpa sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
Sepanjang tempok berkempen menjelang pilihan raya esok, hasil pemerhatian Malaysia Decides mendapati walaupun menteri besar sementara Zambry Abdul Kadir dikatakan popular, poster-poster beliau jarang kelihatan, malah di kerusi parlimen Lumut di mana beliau akan bertanding.
Beliau dipalit skandal awal tahun ini apabila didakwa menerima bous RM115,000 dan Audi Q7 bernilai RM620,000 dari syarikat milik kerajaan negeri.
Poster perdana menteri sementara Najib Razak juga kurang kelihatan di Perak.
Sebaliknya, BN lebih mengharapkan rekod perkhidmatan calon tempatannya untuk mengatasi kemarahan pengundi terhadap kenaikan kos sara hidup.
Rata-rata pengundi yang ditemui di Perak, termasuk di rancangan-rancangan Felda, strategi ini bukan tidak lagi menjadi seperti selalu kerana mereka secara terbuka menyatakan mahu mencuba sebuah kerajaan baharu. – 8 Mei, 2018.
Komen