PAS memperolehi faedah daripada kejatuhan sokongan kaum Melayu terhadap Barisan Nasional (BN), kata tinjauan Merdeka Center, namun menyatakan yang ia tidak mencukupi untuk meningkatkan peluang parti Islam itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kajian terbaru tentang sentimen pengundi itu juga mendapati isu ekonomi seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos barangan adalah faktor utama yang akan mempengaruhi undi.
Sehingga tengah hari ini, PAS dijangkakan memperolehi hanya dua daripada 158 kerusi parlimen yang ditandinginya dalam pilihan raya kali ini.
Semasa bersama Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2013, PAS memenangi 21 kerusi parlimen.
Kajian itu mendapati sokongan terhadap BN di kalangan orang Melayu menurun daripada 47.3% kepada 44.3% antara 2 Mei dan 8 Mei.
Dalam tempoh yang sama sokongan Melayu untuk PAS meningkat kepada 28.1% daripada 24.7%. Sokongan Melayu untuk PH menurun dari 28.1% kepada 27.6% dalam tempoh yang sama.
“Pengurangan sokongan pengundi Melayu untuk BN telah memberi manfaat yang lebih kepada PAS berbanding PH (Pakatan Harapan),” kata Merdeka Centre.
Tetapi sebahagian besar sokongan Melayu untuk BN di kalangan orang Melayu akan membantu parti pemerintah itu berkuasa di kebanyakan kerusi marginal.
Merdeka Center meramalkan bahawa BN akan mendapat semula mandat untuk mentadbir Putrajaya walaupun dengan hanya 37.3% undi popular. Menjelang tengah hari pada 8 Mei, BN mendahului dengan 100 kerusi, diikuti oleh PH 83 kerusi dan PAS dengan dua kerusi.
Keputusan itu dipengaruhi kemarahan pengundi terhadap GST, kos sara hidup dan rasuah, katanya.
“Tiga isu utama yang dianggap paling penting kepada pengundi ialah kebimbangan ekonomi iaitu 43%, diikuti oleh masalah tadbir urus (rasuah) 21% dan kelemahan kepimpinan 8%,” kata badan tersebut.
Pengundi Melayu menyatakan kebimbangan tertinggi mengenai isu ekonomi iaitu 46% dan diikuti oleh isu tadbir urus yang baik (17%). Pengundi Cina meletakkan penekanan yang sama pada ekonomi (37%) dan isu rasuah (35%).
Pengundi India juga mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi terhadap isu ekonomi (43%) dan meletakkan perlunya pemerkasaan masyarakat India (15%).
Pengundi muda, yang berumur bawah 40 tahun, lebih menitikberatkan perkara yang berkaitan dengan tadbir urus dan kepimpinan yang baik, manakala pengundi berumur lebih 40 tahun menyatakan sedikit lebih tinggi atas kebimbangan mengenai hak-hak komunal (11%). – 8 Mei, 2018.
Komen