Demi PRU14, pengundi redah kesesakan pulang mengundi


The Malaysian Insight

LEBUH raya utama di seluruh negara mulai sesak apabila rakyat Malaysia memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), esok.

Sejak petang tadi, kesesakan semakin teruk di sepanjang lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Gua Musang.

Lebuh raya menuju keluar dari Lembah Klang seperti Lebuh raya Lembah Klang Utara (NKVE) menuju Ipoh dan Alor Setar, serta Lebuhraya Elite menghala Melaka dan Johor, juga sesak teruk.

Pengguna media sosial melaporkan kesesakan lalu lintas di NKVE dan Lebuhraya Elite sejak selepas tamat waktu bekerja, memuat naik gambar kenderaan yang berderet di jalan raya.

“Waktu perjalanan dan kesesakan lalu lintas benar-benar menguji kesabaran pengundi. Saya harap semua akan memandu dengan selamat ke destinasi masing-masing dan menunaikan tanggungjawab ini sekali dalam setiap lima tahun,” kata pengguna jalan raya Geo Chong di Facebook, tiga jam lalu.

Beliau melaporkan deretan kenderaan tidak bergerak menuju keluar di plaza tol Duta di NKVE menghala Lebuhraya Utara-Selatan dan di persimpangan Lebuhraya Duke untuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Seorang lagi pengguna Facebook Snowpiano Pang berkata ini kali pertama beliau melihat orang ramai gembira walaupun jalan raya sesak.

Laman web The Edge Markets melaporkan kesesakan di tol Bentong berlaku sejak petang semalam dengan trafik di situ meningkat 164% berbanding hari biasa.

Katanya, pengundi menuju ke pantai timur menyebabkan kesesakan antara jam 8 pagi dan 9 pagi di Lebuhraya Gua Musang.

Esok, Malaysia bakal menyaksikan persaingan pilihan raya yang paling sengit sejak mencapai kemerdekaan, apabila barisan pembangkang diketuai oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, mencabar Barisan Nasional yang berkuasa sejak enam dekad lalu.

Pakatan Harapan meletakkan harapan tinggi sekurang-kurangnya 85% pengundi keluar mengundi untuk menewaskan BN. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen