Afrika Selatan fail kes di ICJ, tuduh Israel lakukan jenayah genosid


Afrika Selatan meminta ICJ mengeluarkan arahan sementara kepada Israel supaya menghentikan serangannya di Gaza. – Gambar EPA, 30 Disember, 2023.

AFRIKA Selatan memfailkan kes pada Jumaat di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel dengan menyifatkan tindakan rejim Zionis di Gaza sebagai “penghapusan kaum”.

Menurut satu kenyataan, permohonan ICJ berkaitan dengan dakwaan pelanggaran Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid, dan mengatakan “Israel sudah dan sedang melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang-orang Palestin di Gaza”.

Dalam permohonan itu, Afrika Selatan juga mengatakan Israel bertindak dengan niat untuk menghapuskan rakyat Palestin di Gaza sebagai sebahagian daripada kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin yang lebih meluas.

Israel menolak keras tindakan Afrika Selatan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Peperangan menghampiri minggu ke-12, memusnahkan kawasan di utara Gaza dan serangan udara dan pertempuran darat Israel memfokuskan pada daerah tengah dan selatan.

Serangan tanpa henti tentera Israel setakat ini membunuh lebih 21,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang diperintah Hamas.

Dalam pemfailan ICJ, Afrika Selatan meminta mahkamah “melindungi daripada kemudaratan yang lebih teruk dan tidak boleh diperbaiki terhadap hak rakyat Palestin”.

Afrika Selatan menjadi penyokong lantang perjuangan Palestin, dengan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang memerintah sering mengaitkannya dengan perjuangannya sendiri menentang aparteid.

Pretoria mengutuk sekeras-kerasnya tindak balas Israel terhadap serangan Hamas dan memanggil balik semua diplomatnya dari negara itu.

Israel pula memanggil semula dutanya di Afrika Selatan.

Keputusan oleh ICJ, yang mengadili pertikaian antara negara, adalah muktamad—tetapi ia tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakan keputusannya.

Ia juga boleh mengarahkan langkah kecemasan sementara menunggu penyelesaian penuh kes, yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Pada November, lima negara termasuk Afrika Selatan, menggesa supaya siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap perang Israel-Hamas.

Ketua Pendakwa raya ICC, Karim Khan berkata Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti—kesemua ahli ICC—mendesak siasatan keadaan di Palestin. – AFP, 30 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen