Tentang selipar, terompah, Nik Omar dan bagaimana PAS akan hilang Pantai Timur


The Malaysian Insight

PADA 2015, pemimpin PAS diketuai Abdul Hadi Awang membuat keputusan terpenting PRU14- menjadikan PAS kuasa ketiga untuk bersaing menentang bekas sekutunya DAP dan PKR serta musuh tradisinya Umno.

Pada 9 Mei, parti itu berkemungkinan akan merasai kesan buruk keputusan itu.

PAS dijangka hilang kuasa di Kelantan kepada BN dan mimpinya untuk menakluk kembali Terengganu bakal berkecai.

Di Terengganu, kubu kuat Hadi, kemarahan akar umbi terungkap dalam kata-kata yang bertiup di kawasan itu; selipar satu, terompah satu.

Keputusan PAS mencetuskan protes dalam kalangan ahlinya dan penyokong tradisinya yang mahu meninggalkan parti itu dan memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun PAS dan Barisan Nasional (BN) dilihat hampir setara kekuatannya di dua negeri Pantai Timur itu, perpecahan undi antara antara PAS dan PH akan membolehkan BN mencapai kejayaan di negeri itu walaupun undi popularnya kurang 40%.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata BN akan menjadi penerima manfaat paling besar disebabkan perpecahan itu berdasarkan sejarah panjang kewujudannya di kedua negeri itu.

“PH sudah agresif tetapi ia masih belum dapat masuk ke banyak kawasan kerana kekurangan jentera dan ahli. Mereka mungkin dapat sokongan di sesetengah kawasan, tetapi tidak cukup untuk takluk negeri.

Sokongan untuk PH juga cukup kuat dalam kalangan pengundi yang menetap di luar Kelantan dan Terengganu yang boleh menyebabkan peluangnya menang di kerusi bandar meningkat.

Dikatakan peluang PH tinggi untuk menang di kerusi negeri dan Parlimen di Kota Baru, Kubang Kerian dan Ketereh di Kelantan, dan Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman di Terengganu.

PAS memegang 14 daripada 17 kerusi DUN di Terengganu dan empat daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu. Parti itu mengawal 32 daripada 45 kerusi DUN di Kelantan dan sembilan daripada 14 kerusi Parlimen.

Di Terengganu, aktivis PAS mengatakan wujud kempen dalam diam memujuk ahlinya mengundi PH di peringkat Parlimen tetapi mengekalkan sokongan kepada parti itu pada peringkat DUN.

“Ia adalah kempen bawah tanah dalam kalangan ahli. Kami cuba yang terbaik beritahu mereka supaya setia kepada parti. Tetapi ia akan mengubah undi kami,” kata aktivis PAS Marang Ramli Mohamad.

PH yakin meraih sokongan pengundi bukan ahli parti yang kecewa dengan PAS dan BN, kata calon Dungun Abdul Rahman Yusof.

Bersama-sama dengan undi protes kepada PAS, ia akan memberikan PH antara 18% hingga 25% undi. Tidak cukup untuk menang, tetapi cukup untuk pecahkan undi anti BN dan membolehkan BN menang.

Di Kelantan pula, pegawai BN memberitahu Malaysia Decides yang mereka mahu mengambil kesempatan atas perpecahan sokongan kepada PAS untuk menakluk sekurang-kurangnya 26 daripada 45 kerusi negeri.

Perpecahan dalam kalangan penyokong PAS di Kelantan jelas terbukti berbanding di Terengganu, selepas PH meletakkan Nik Omar Nik Aziz, anak lelaki sulung Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

Ceramah kelompok dan kuliah selepas solat anjuran Nik Omar menarik ramai penyokong PAS.

“Dia mengingatkan saya kepada ayahnya. Bukan hanya orang Islam suka dia, orang bukan Islam pun suka,” kata Kamarulzaman Mohamad yang hadir di ceramah di Kampung Gayunng dan kini bercadang mengubah undinya daripada PAS kepada PH.

Kelemahan pentadbiran PAS di Kelantan juga menyebabkan peralihan undi mereka yang sebelum ini menyokongnya.

Wong dari Taman Masira, Bachok adalah salah seorang. Sejak lima tahun lepas, dia merayu kepada kerajaan Kelantan untuk membina sistem paip baru di kampungnya kerana bekalan air mereka selama ini hanya ada pada tengah malam.

“Setiap kali kami tanya kerajaan negeri, mereka kata tiada peruntukan. Perlu tunggu kerajaan persekutuan. Tetapi waktu pilihan raya mereka ada duit pula untuk cetak semua bendera ini,” katanya ketika ditemui selepas satu majlis PH.

“Jadi kali ini saya akan ubah kedua-duanya, negeri dan seluruh negara.” – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen