KEDUDUKAN Sabah sebagai undi tetap Barisan Nasional (BN) selama ini akan teruji pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok apabila parti pemerintah itu berdepan cabaran paling sengit dalam sejarah pilihan raya negeri itu, kata penganalisis.
Badan penyelidik Merdeka Center dalam kajian terbarunya hari ini menjangkakan hanya 14 kerusi Parlimen yang selamat bagi BN daripada 25 kerusi yang dipertandingkan. Pada PRU13, BN menang 22 kerusi Parlimen di Sabah.
Penganalisis lain membuat unjuran yang hampir dekat iaitu pencabar BN, Parti Warisan Sabah pimpinan Shafie Apdal, yang bergabung dengan PKR dan DAP, boleh menang antara 10 hingga 12 Parlimen.
“Warisan berada di landasan untuk menang sejumlah besar kerusi Parlimen dan negeri malah dijangka dapat merampas beberapa kerusi di kawasan Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) di kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah,” kata pensyarah kajian politik di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung.
Beliau juga percaya Warisan boleh mengulangi kejayaan PBS pada 1985, apabila pertama kali dalam sejarah parti bukan daripada gabungan BN membentuk kerajaan negeri di Sabah.
Merdeka Center dalam kajiannya menjangkakan gabungan Warisan dan PH selesa di hanya lima kerusi, dan enam kerusi masih jadi rebutan.
Enam kerusi Parlimen itu ialah Kota Marudu, Sepanggar, Keningau, Libaran, Silam dan Tawau, yang empat daripadanya disinggahi sendiri oleh Pengerusi BN Najib Razak semasa minggu kempen yang berakhir tengah malam ini.
Sementara itu, Warisan yakin menguasai kerusi negeri di bahagian pantai timur termasuk yang sebelum ini kubu kuat BN seperti Balung, Sekong, Pitas, Sugut, Merotai dan Senallang yang ditandingi oleh Shafie.
Di kawasan pantai barat dan pedalaman, Warisan yakin menang kerusi parlimen Penampang dan Putatan serta merampas kerusi negeri Kapayan, Kiulu, Kadamaian, Tambunan, Liawan, Melalap dan Kemabong.
Warisan dalam kempennya menekankan usaha merebut semula hak anak negeri daripada ditentukan di Putrajaya melalui Umno. BN pula meneruskan kempen menjanjikan pembangunan, keamanan dan kestabilan.
Warisan membentuk kerjasama dengan PKR dan DAP selepas setuju untuk tidak bertanding di kerusi yang ditandingi oleh dua parti dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dari Semenanjung Malaysia itu.
PKR bertanding enam kerusi parlimen dan sembilan kerusi negeri sementara DAP bertanding tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi negeri.
Warisan yang bertanding 16 kerusi Parlimen dan 45 kerusi negeri bagaimanapun tidak bekerjasama dengan Amanah, sebuah lagi parti gabungan PH, dan bertembung di Parlimen Batu Sapi dan DUN Merotai.
Umno yang menerajui BN bertanding di 15 Parlimen dan 33 DUN manakala komponennya Upko, PBS, LDP, Gerakan dan MCA bertanding di baki 10 kerusi Parlimen dan 27 kerusi negeri.
PRU14 di Sabah turut ditandingi gabungan parti pembangkang tempatan, Gabungan Sejahtera yang dijangka akan memecahkan undi di kawasan KDMR. – 8 Mei, 2018.
Komen