PELAJAR Malaysia di luar negara hari ini berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan hak kebanyakan warganegara yang berada di luar negara untuk mengundi menerusi pengurusan yang tidak cekap dalam proses mengundi pos.
Dalam satu kenyataan bersama, lima persatuan pelajar Malaysia berkata mereka percaya SPR sengaja melewatkan penghantaran kertas undi kepada pelajar di luar negara.
Lima persatuan itu ialah Majlis Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (UKEC), Kesatuan Penuntut Undang-undang Malaysia di United Kingdom dan Eire (KPUM), Majlis Pelajar Malaysia di Australia (MASCA), Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) dan Malaysian Progressive di Australia (MPOZ).
“Kami percaya kesan salah pengurusan itu menafikan hak rakyat untuk mengundi seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.
Mereka berkata tempoh 11 hari untuk SPR mencetak dan menghantar kertas undi, kemudiannya pengundi pos perlu menghantar semula kepada SPR, terlalu singkat.
“Menurut laman web Pos Malaysia, tempoh penghantaran untuk perkhidmatan penghantaran ekspres antarabangsa ialah 2-4 hari untuk Australia, 3-5 hari untuk United Kingdom dan 4-6 hari ke Perancis.
“Sudah jelas tempoh 11 hari terlalu singkat untuk undi pos dijalankan secara berkesan, malah cuti umum dan hujung minggu pula tiada perkhidmatan pos.”
Mereka berkata ramai rakyat Malaysia lewat menerima kertas undi dan tidak dapat menghantar semula pada waktu ditetapkan, malah ada yang dimaklumkan oleh perkhidmatan penghantaran bahawa kertas undi hanya akan sampai pada 8, 9 Mei dan malah 10 Mei.
SPR menetapkan tarikh akhir undi pos tiba ke Malaysia ialah esok, jam 5 petang.
Mereka berkata kerjasama dengan kumpulan tempatan dan masyarakat rakyat Malaysia dilakukan untuk menghantar sendiri kertas undi itu menerusi sukarelawan yang sanggup pulang ke tanah air untuk menghantarnya ke setiap kawasan berkenaan. – 8 Mei, 2018.
Komen