LAMAN sesawang DAP, dapmalaysia.org dan portal berita Bahasa Malaysianya, Roketkini.com diserang pihak tidak dikenali.
Dalam satu kenyataan hari ini, ibu pejabat parti itu mengatakan mereka dimaklumkan yang serangan besar-besaran DDoS (Distributed Denial of Service) menyasarkan server alamat IP itu secara langsung sedang berlaku pada jam 4.24 petang tadi.
Serangan DDoS adalah cubaan menganggu perkhidmatan dalam talian dengan menyesakkan sesuatu laman sesawang dengan trafik dari pelbagai sumber.
“Serangan itu cukup besar untuk menganggu jaringan hubungan pusat data.
“Memandangkan hari ini adalah hari terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, kami tidak terkejut sekiranya pesaing politik kami iaitu Barisan Nasional dan/atau penyokong mereka adalah dalang serangan DDoS ini—berdasarkan taktik kotor dan menekan yang digunakan kepada Pakatan Harapan dalam tempoh berkempen,” katanya.
Kenyataan turut menyebut yang usaha sedang dijalankan bagi membolehkan kedua-dua laman sesawang itu kembali berfungsi.
Serangan itu berlaku selepas godaman yang dilakukan ke atas blog Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu awal hari ini mengeluarkan kenyataan blognya yang mengandungi dokumen berkaitan skandal Najib Razak digodam hari ini.
Rafizi dimaklumkan perkara itu pada jam 4.04 petang hari ini oleh syarikat pembekal blognya yang semua dokumen dalam blognya sudah dipadam.
Talian telefon peribadinya dan Invoke Malaysia juga digodam, dan nombornya digunakan untuk menghantar mesej memperlekeh Pakatan Harapan. – 8 Mei, 2018.
Komen