SALAH sebuah pusat kajian dihormati di Malaysia hari ini menggadaikan kredibilitinya apabila mengeluarkan laporan kajian mengatakan yang Barisan Nasional akan menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun undi popular akan terus jatuh bawah 40 peratus.
Merdeka Centre mengatakan BN mempunyai 100 kerusi selamat- boleh menang mudah- berbanding 82 yang dimiliki Pakatan Harapan (PH), mereka juga percaya yang 37 kerusi marginal akan dimenangi BN.
Tetapi pusat kajian itu meletakkan syarat kepada hasil kajiannya; ia bergantung kepada jumlah mereka yang keluar mengundi.
“Jumlah kerusi marginal yang banyak (37) menjadikan jumlah keluar mengundi akan menjadi faktor kritikal dalam penentuan hasil keputusan banyak kerusi pada hari pengundian.”
Jangkaan itu bersandarkan hasil pengesan sentimen harian melibatkan 1,579 responden di 12 buah negeri dan 70 kawasan Parlimen.
Kajian bertanya kepada pengundi antara BN, PH dan PAS yang manakah mereka mahu memimpin Malaysia. Jawapan yang diterima kemudiannya diletakkan dalam model pilihan raya Merdeka Center bagi mendapatkan kemungkinan pilihan yang dibuat oleh responden yang tidak memberikan jawapan.
Berdasarkan jawapan itu, pusat kajian itu mengeluarkan jangkaan yang BN akan menang dengan 37.3% undi popular, lebih rendah berbanding 47% yang diraihnya pada 2013.
PH dijangka meraih 43.4% undi popular, PAS pula hanya 19.3%.
Kajian itu bagaimanapun dilakukan pada tengahari 8 Mei dan tidak mengambil kira perubahan saat-saat akhir yang mungkin berlaku pada jam-jam terakhir tempoh berkempen.
Ia juga dilakukan sebelum siaran dua ucapan penting dijangka disampaikan oleh Pengerusi BN dan calon Perdana Menteri PH Dr Mahathir Mohamad.
Kedua-dua mereka dijangka memberikan ucapan kepada seluruh negara pada jam 10 malam ini. – 8 Mei, 2018.
Komen