KERUSI Parlimen Teluk Intan adalah antara salah satu medan pertempuran yang amat dinanti-nantikan masyarakat Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Ia bakal menyaksikan persaingan antara calon Barisan Nasional (BN) yang berasal dari golongan elit tempatan dan pencabarnya dari DAP yang disebut-sebut sebagai calon favorit golongan pekerja.
Dilahirkan dari keluarga berada di Teluk Intan, ahli Parlimen dan presiden Gerakan Mah Siew Keong sememangnya sinonim dengan golongan elit di kerusi separuh bandar itu.
Lawan utamanya adalah Nga Kor Ming dari Pakatan Harapan (PH), yang merupakan bekas ahli Parlimen Taiping dan ketua DAP Perak yang amat popular di kalangan golongan pekerja kaum Cina.
Golongan pekerja tidak senang dengan tindakan sesetengah pemimpin masyarakat Cina yang menggunakan nama suku dan persatuan perniagaan sebagai modal untuk menyokong Mah.
“Adakah mereka sudah meminta izin ahli jawatankuasa dan ahli biasa sebelum berbuat demikian?” kata pengundi berusia 66 tahun, Tan Tian Fatt.
Walaupun Mah mempunyai rekod perkhidmatan yang sangat baik, penduduk tempatan mempersoalkan sikap berdiam diri beliau berhubung skandal rasuah yang menyelubungi BN.
Seorang pesara berusia 72 tahun, Yew Yin Xin, berkata Mah gagal menghalang sikap berlebihan Umno.
Kontraktor, Suba, 62, dan pekerja ladang bersara, Krishnan, 59, mengkritik Mah kerana gagal menggesa Najib agar bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB.
“Dia berkhidmat di sini tetapi diam bila ada isu nasional,” kata mereka.
Nga cukup handal dalam mengkritik BN.
Sebahagian daripada retoriknya, walaupun disukai kaum Cina, telah disalahertikan, seperti jenaka yang menyentuh sosok Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan bekas perdana menteri Singapura, mendiang Lee Kwan Yew.
Nga menyatakan bahawa Dr Mahathir, 92, sudah tua dan menghampiri ajalnya, namun sementara masih hidup, beliau akan membantu PH mengambil alih Putrajaya sebelum dia dapat bermain mahjong dengan Lee.
Sebuah kerusi campuran, pengundi Teluk Intan lebih terkesan dengan sentimen nasional dalam menentukan undi mereka di peringkat Persekutuan.
Dari tahun 1986 hingga 2004, mereka mengundi BN. Pada tahun 2008 dan 2013, mereka mengundi Pakatan Rakyat yang kini terkubur.
PH mungkin akan menang di Teluk Intan jika peratusan keluar mengundi mencapai antara 70% hingga 80%, seperti dua PRU lepas.
Nga, bagaimanapun, berkata beliau hanya akan yakin menang jika peratusan keluar mengundi esok adalah 85%.
Mah dan Nga, masing-masing menganggap diri mereka sebagai “underdog” dalam PRU kali ini.
PAS turut bertanding tetapi calonnya Dr Ahmad Ramadzan dijangka tidak mampu memberikan cabaran yang hebat kepada calon BN atau DAP. – 7 Mei, 2018.
Komen