SEMUA pemandu teksi di seluruh negara mesti mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana Barisan Nasional (BN) telah mengabaikan mereka, kata seorang pengasas persatuan teksi hari ini.
Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail berkata BN hanya mengutamakan industri e-hailing, dan bukannya teksi.
“Saya menyeru seluruh warga pemandu teksi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak… siapkan, bangkitkan diri anda untuk mengundi (PH) esok,” beliau berkata demikian pada sidang akhbar hari ini.
“Saya sedih dengan apa yang dizalimi oleh Najib dan Nancy…sehinggakan beliau menjadi ‘pengarah’ marketing untuk e-hailing daripada membantu pemandu teksi,” kata Shamsubahrin yang menahan sebak, merujuk kepada perdana menteri sementara Najib Razak dan menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, yang bertanggungjawab ke atas industri teksi.
Shamsubahrin berkata langkah kerajaan BN untuk mengutamakan perkhidmatan e-hailing telah “meranapkan” industri teksi.
“Esok, hari ini, ialah hari terakhir kamu, BN. Saya sayangkan kamu, tetapi bagi saya kamu dah tak ada. Saya tak mahu kamu dalam negara ini lagi.
“Saya tak mahu kamu Nancy, Najib. Cukuplah…apa yang kamu sudah lakukan terhadap saya, industri dan pemandu teksi.”
Minggu lalu, calon perdana menteri PH Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mengkaji semula perkhidmatan e-hailing. – 8 Mei, 2018.
Komen