Anwar perlu rancakkan pertumbuhan ekonomi 2024, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Menurut pakar ekonomi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menangani isu kos sara hidup yang tinggi, mengawal inflasi, berusaha untuk menaikkan gaji dan menurunkan angka pengangguran tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2023.

AGENDA ekonomi Anwar Ibrahim setakat ini membuahkan hasil cukup memberangsangkan pada tahun pertama beliau dilantik sebagai perdana menteri, namun lebih banyak usaha perlu digembeling tahun depan yang dilihat semakin mencabar, kata pakar ekonomi.

Tambah mereka, Anwar perlu menangani isu kos sara hidup yang tinggi, mengawal inflasi, berusaha untuk menaikkan gaji dan menurunkan angka pengangguran tahun depan.

Mereka juga berkata, perdana menteri yang juga menteri kewangan, perlu mencari jalan untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan eksport perkhidmatan dan mewujudkan ekonomi yang dipacu oleh industri halal dan pembiayaan Islam seperti yang dirangka sebagai nadi rancangan ekonominya dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata terdapat petunjuk positif ekonomi makro seperti inflasi terkawal dan kadar pengangguran yang rendah.

“Agendanya adalah untuk mempunyai petunjuk dan peningkatan yang positif. Keluaran Dalam Negara Kasar kita pada setiap suku tahun menunjukkan pertumbuhan. Pekerjaan atau buruh bertambah baik.

“Cabaran tahun depan adalah dengan memastikan kos sara hidup bertambah baik kepada rakyat, meningkatkan taraf hidup, menyelesaikan isu gaji dan mengurangkan hutang isi rumah secara keseluruhannya,” kata pensyarah itu.

Pada Julai lalu, Anwar mengumumkan kerangka Ekonomi Madani bertujuan meningkatkan ekonomi.

“Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya pada majlis itu.

Seorang lagi ahli akademik, Dr Barjoyai Bardai, dalam pada itu berkata Anwar sudah membuat rancangan atau kerangka untuk memperbaiki ekonomi tetapi masih belum membuahkan hasil.

Ahli akademik Universiti Antarabangsa Al Medinah itu bagaimanapun berkata, rancangan ekonomi Anwar semuanya adalah besifat jangka pendek, sambil menambah perdana menteri perlu memberikan penyelesaian jangka panjang.

Beliau bagaimanapun bersetuju pertumbuhan ekonomi negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Anwar sudah merangka satu projek terbesar iaitu Projek Tebatan Banjir yang dikatakan menelan belanja lebih RM10 bilion.

“Beliau juga sedang meneruskan projek ECRL serta terdapat rancangan untuk meneruskan pembinaan kereta api laju. Terdapat juga projek lebuh raya Sabah-Sarawak. Satu-satunya perkara yang perlu diambil perhatian adalah kemajuan kerja adalah perlahan.

“Kami juga mendengar mengenai rancangannya untuk menyelesaikan isu isi rumah dan kos sara hidup. Secara keseluruhannya ekonomi kita berkembang pesat. Tahun depan, saya menjangkakan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4% dan ini akan dirangsang oleh sektor pelancongan dan pembinaan,” kata Barjoyai. – 28 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen