SEKUMPULAN penduduk Batu berang dengan tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Dewan Bandaraya menurunkan kain rentang dan mencabut bendera PKR di Taman Datuk Senu, Sentul petang ini.
Tiada yang mengalami kecederaan dalam kekecohan itu, yang turut menyaksikan pegawai SPR dan Dewan Bandaraya mengembalikan semula bendera dan kain rentang tersebut kepada penduduk terbabit.
Chua Tian Chang, yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, berada di tempat kejadian dan menuntut agar bahan kempen PKR itu dikembalikan.
“Kami lihat mereka mencabut bendera kami, jadi kami minta mereka berhenti, kali ini mereka melakukannya pada siang hari,” kata Tian Chua.
Beliau merujuk kejadian beberapa hari lepas sewaktu pegawai-pegawai itu muncul di Sentul dan mencabut bendera PKR pada waktu larut malam, yang dibuat kononnya atas arahan pegawai pengurus pilihan raya (RO).
Alasan mereka adalah: Tian Chua telah hilang kelayakan daripada bertanding dalam PRU14. Justeru itu, poster dan benderanya tidak boleh dipamerkan.
Namun, pengundi Batu berhujah bahawa bendera PKR digunakan oleh pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 dan mereka ada hak untuk memasangnya di mana sahaja mereka mahu.
Pada petang ini, kira-kira 15 pegawai tiba dengan tiga buah van di tempat kejadian dan seterusnya merampas bahan kempen PKR yang mengandungi logo parti dan imej Tian Chua dengan imej calon bebas bagi kerusi Batu P. Prabakaran.
Tian Chua berkata walaupun terdapat banyak sergahan dan ancaman, tidak ada yang cedera dan pegawai akhirnya akur dan mengembalikan semula bahan kempen tersebut.
“Ini hanya berlaku di Taman Datuk Sentul, mereka tidak menurunkan bendera dan sepanduk di kawasan lain di Batu.
“Saya telah mengarahkan semua ahli parti di Batu untuk menghalang SPR jika mereka ada melihat mereka merampas bahan kempen PKR di kawasan itu,” tambah Tian Chua.
Penyandang Parlimen Batu Tian Chua hilang kelayakan daripada bertanding dalam PRU14 berikutan saman mahkamah sebanyak RM2,000.
Kepimpinan PH, menyokong pencalonan Prabakaran, sambil menegaskan bahawa undi untuk Prabakaran adalah undi untuk PH.
Ekoran kes Tian Chua itu, kerusi Batu bakal menyaksikan persaingan empat penjuru antara Dominic Lau Chai Hoe dari Barisan Nasional, Azhar Yahya dari PAS dan dua orang calon bebas iaitu Prabakaran dan V. M. Panjamothy.
Batu mempunyai 76,328 pengundi, 42.52% adalah Melayu, diikuti Cina (38.28%) dan India (17.46%). – 7 Mei, 2018.
Komen