Blog Rafizi digodam, bukti skandal kewangan Najib hilang


The Malaysian Insight

BLOG Rafizi Ramli yang mempunyai dokumen berkaitan skandal kewangan perdana menteri sementara Najib Razak telah digodam hari ini.

Rafizi berkata syarikat yang menjadi hos kepada blog beliau, DataKL memaklumkan bahawa blog beliau telah digodam pada 4.40 petang tadi dan kesemua dokumen bukti tersebut telah dipadam.

“Menurut DataKL.com, sementara kes blog saya digodam adalah perkara biasa, ini kali pertama ia berjaya digodam begitu menyeluruh sehingga masuk ke pelayan untuk memadamkan semua data yang ada,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Presiden PKR itu juga berkata talian telefon beliau dan Invoke Malaysia digodam dan nombor beliau telah digunakan untuk menghantar mesej yang merendah-rendahkan Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Rafizi memuat naik video di laman Facebook beliau yang merumuskan kesemua 200 ceramah saya mendedahkan skandal-skandal kewangan Najib.

Video itu katanya telah ditonton sebanyak 497,000 dan dikongsi 15,000 kali.

Dalam video itu, Rafizi berkata dokumen yang diaudit berkaitan skandal Najib boleh dilihat melalui pautan di blognya.

Penyandang Pandan itu hari menyoal Najib, adakah munasabah untuk dirinya mengesyaki bahawa jentera Barisan Nasional bertanggungjawab menggodam blog beliau.

“Saya ingin mengingatkan Najib bahawa jika Pakatan Harapan menang esok, peristiwa menggodam ini akan disiasat sepenuhnya.

“Saya ingin memberi amaran kepada jentera Barisan Nasional bahawa segala kegiatan menggodam yang berasal dari mereka, akan disiasat sepenuhnya dan dibawa ke muka keadilan selepas PRU14 nanti.” – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen