Kumpulan peguam gesa polis bebaskan 171 pekerja Bangladesh 


Sebanyak 171 pekerja warga Bangladesh ditahan ketika berjalan beramai-ramai menuju ke balai polis untuk membuat laporan terhadap ejen mereka yang gagal memberi pekerjaan seperti dipersetujui dalam kontrak. – Gambar Facebook, 27 Disember, 2023.

POLIS perlu segera membebaskan 171 pekerja warga Bangladesh yang ditahan di Johor awal minggu ini, kata Lawyers for Liberty (LWL) hari ini.

Pengarahnya Zaid Malek berkata kesemua 171 warga Bangladesh itu ditahan ketika berjalan beramai-ramai menuju ke balai polis untuk membuat laporan terhadap ejen yang gagal memberi pekerjaan seperti dipersetujui dalam kontrak.

“Sungguh menyedihkan walaupun polis mengakui kesemua 171 pekerja itu memasuki negara ini secara sah dan hanya cuba membuat laporan di balai polis berhubung ejen berkenaan, tetapi mereka yang ditangkap untuk disiasat kononnya tinggal lebih masa,” kata Zaid dalam satu kenyataan.

Beliau berkata jaminan kerajaan akan menyiasat ejen yang bertanggungjawab menganiaya 171 pekerja Bangladesh itu tidak mencukupi.

Zaid berkata fakta jelas menunjukkan mereka ditipu dan kini terkandas tanpa pekerjaan yang dijanjikan kepada mereka.

“Jika mereka tinggal lebih masa, ia berpunca daripada ejen yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan eksploitasi.

“Ini bermakna mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia mengikut Seksyen 2 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Beliau menambah sebagai mangsa pemerdagangan, mereka tidak boleh ditahan di depoh imigresen atau didakwa atas kesalahan.

“Malah, mereka sepatutnya sudah dibawa ke majistret dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk diberi perintah perlindungan sementara dan sebaliknya ditempatkan di tempat perlindungan yang ditetapkan mengikut seksyen 44 ATIPSOM.

“Tiada laporan proses ini dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Kegagalan memulakan proses mendapatkan perintah perlindungan untuk pendatang menghalang mereka daripada diiktiraf sebagai orang yang diperdagangkan dan diberi imuniti daripada pendakwaan jenayah kerana tinggal lebih masa seperti terkandung dalam Seksyen 25 ATIPSOM.”

Beliau berkata kerajaan perlu memastikan 171 warga Bangladesh itu dibebaskan serta-merta daripada tahanan dan menggantung sebarang siasatan kerana tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen.

“Adalah satu ketidakadilan besar bagi pendatang, yang memasuki negara ini secara sah untuk mendapatkan pekerjaan yang sah untuk dihantar pulang ke negara asal mereka kerana tindakan penipuan ejen dan kegagalan kerajaan memastikan mereka menerima keadilan,” katanya. – 27 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen