Felda mohon JPS kaji punca banjir kilat Felda Kerteh


Ahad lepas penduduk di gugusan Felda Rasau Kerteh dikejutkan dengan kejadian banjir kilat sekitar pukul 4 petang, dengan kawasan terlibat termasuk Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya. – Gambar Facebook, 27 Disember, 2023.

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu membuat kajian bagi mengenal pasti punca banjir kilat di gugusan Felda Rasau Kerteh, Ahad lepas.

Pengerusinya Shabery Cheek berkata bencana itu berlaku buat kali pertama dalam tempoh lebih 40 tahun sejak tanah rancangan berkenaan dibuka, dan ia sememangnya di luar jangkaan, mengejutkan seluruh penduduk kampung berkenaan.

Beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama dengan pihak JPS bagi mengenal pasti punca dan mengelak bencana itu daripada berulang pada masa akan datang.

“Saya difahamkan kejadian itu (banjir kilat) lebih kurang sama seperti insiden kepala air… iaitu air yang datang secara mendadak dan surut tidak lama kemudian. Walaupun ia surut dalam masa sekejap, masalah yang timbul ialah kesan kemusnahannya sangat besar.. rumah mereka (mangsa banjir) mungkin dah ‘total lost’. 

“Secara menyeluruh perkara ini perlu dibincangkan bersama JPS bagi melihat kembali sistem perparitan, sungai dan juga tempat takungan yang mungkin telah ditimbus akibat pembangunan sehingga mengakibatkan tiada lagi tempat takungan air,” katanya ketika ditemui pada lawatan mangsa banjir di Dewan Felda Kerteh 4, di Dungun malam tadi.

Sementara itu Shabery berkata pihak pengurusan Felda sedang menguruskan bantuan segera termasuk tilam, makanan dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak Felda yang akan memulakan sesi persekolahan Ahad ini.

Beliau berkata pihaknya membuat persiapan awal banjir dengan melancarkan program Felda Siap Siaga 2023 Oktober lepas, malangnya bencana di gugusan Felda Rasau Kerteh itu adalah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali.

“Kita dah minta semua kawasan Felda berisiko banjir bersedia dan sudah pun lancar kempen siap siaga (Felda Siap Siaga 2023) Oktober lepas, banjir kilat berlaku di tempat yang kita tak sangka.

“Sekarang ini kita kerah daripada segi bantuan bekalan seperti tilam dan makanan yang amat diperlukan. Saya juga akan tengok soal persekolahan anak-anak… berapa uniform diperlukan kita akan beri segera sebelum buka sekolah,” katanya.

Selain gugusan Felda Rasau Kerteh, menurutnya dua lagi tanah rancangan iaitu Felda Seberang Tayur, Kemaman dan Felda Tenang, Besut turut dilanda banjir.

Ahad lepas penduduk di gugusan Felda Rasau Kerteh dikejutkan dengan kejadian banjir kilat sekitar pukul 4 petang, dengan kawasan terlibat termasuk Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya. – Bernama, 27 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen