Bersih catat 65 kesalahan pilihan raya di Sabah setakat ini


The Malaysian Insight

DENGAN berbaki hanya 24 jam sahaja lagi menjelang hari pembuangan undi, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 di Sabah mencatat sekurang-kurangnya 65 kesalahan pilihan raya oleh pelbagai parti politik.

Bersih 2.0 mendakwa parti dalam gabungan Barisan Nasional (BN) melakukan kesalahan paling banyak, antaranya dua kesalahan memberi rasuah dan membeli undi, empat kesalahan mengadakan acara yang memberikan hadiah, dan kes-kes menggunakan aset dan jentera awam sepanjang sembilan hari berkempen.

Pakatan Harapan (PH) dan Warisan masing-masing mencatatkan satu kesalahan pilihan raya, iaitu memberikan hadiah semasa acara, manakala enam kes kesalahan yang sama dicatatkan oleh parti lain di Sabah.

Pengerusi Bersih Sabah Beverly Joeman berkata pegawai advokasi tempatan akan mengumpulkan semua rekod tersebut sebelum menyerahkannya ke pejabat Bersih 2.0 di Kuala Lumpur.

Seramai 1.17 juta rakyat Sabah dijangka mengundi di seluruh negeri esok pagi.

Sabah dan negara jirannya Sarawak, telah lama menjadi “kubu selamat” untuk BN. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini, pengundi dari kedua-dua negeri itu bakal menentukan nasib pentadbiran Najib dan pemimpinnya disebabkan sokongan yang semakin berkurangan di Semenanjung terhadap gabungan pemerintah itu berikutan pelbagai dakwaan yang dibangkitkan pembangkang yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen