TIMBALAN Presiden Parti Warisan Sabah Darell Leiking bengang apabila Ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (Paca) bagi pihaknya tidak diberikan kad kuasa yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pegawai pengurus Penampang hilang.
Beliau berkata ahli pasukannya menanti pegawai pengurus Luvita Koisun dari jam 8 pagi tetapi masih belum tiba pada 2.30 petang.
“Orang BN boleh masuk saja tetapi pegawai Paca saya diberitahu pegawai pengurus dan pembantunya tidak ada.
“Saya ada 420 pegawai Paca dan mereka yang memastikan proses mengira dilakukan dengan sempurna pada PRU13.
“Mereka yang memastikan tidak berlaku penipuan dan dengan itu saya dapat menang kerusi Parlimen ini dulu,” katanya kepada wartawan di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.
Pada 2013, Leiking memenangi kerusi Penampang atas tiket PKR dengan 10,216 undi majoriti ketika melawan Presiden Upko Bernard Dompok dan seorang lagi calon bebas.
Pengesahan pegawai pengurus atau pembantu pegawai terhadap dokumen dan kad kuasa sangat penting bagi membolehkan Paca menjalankan tugas mereka sebagai ejen untuk calon ketika proses mengundi dan mengira undi. – 8 Mei, 2018.
Komen