BARISAN Nasional (BN) dan lawannya Parti Warisan Sabah (Warisan) masing-masing menggunakan peluang mendekati pengundi di hari terakhir kempen hari ini dalam bentuk video.
Video Warisan memaparkan pesanan dari pengerusinya, Shafie Apdal manakala video BN pula menampilkan amanat dari Sakaran Dandai, bekas ketua menteri Sabah dan juga bapa saudara Shafie.
Dalam video Warisan, Shafie menekankan pesanan agar pengundi yang kebanyakannya berpendapatan rendah itu tidak terpengaruh dengan pemberian wang dari BN.
Sebaliknya, pengundi harus memilih Warisan serta PKR dan DAP untuk menyelamatkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan, pengangguran dan kedaifan, katanya.
Ketika ditemui wartawan pagi ini Shafie turut mengakui bahawa imbuhan wang merupakan perkara paling digusarkan parti itu kerana ia boleh mengubah pendirian pengundi.
“Hamburan duit yang begitu banyak, tak pernah dalam pengalaman politik saya berpuluh juta duit diturunkan, itu saya sebut dua tahun lalu,” katanya kepada wartawan di kediamannya di Semporna pagi tadi.
Sementara itu, video yang menampilkan bapa saudaranya pula merayu pengundi untuk terus memilih BN kerana menurutnya hanya parti itu yang dapat membawa keamanan, kemajuan dan kestabilan bagi negeri itu.
“Dalam 20 tahun menjadi pembangkang itu, kita tak ada apa-apa bila kita masuk Umno baru semua itu boleh dilakukan.
“Kepada seluruh rakyat di semporna ini, pada hari ini gunakanlah rahmat nikmat tuhan supaya Barisan Nasional dapat menang,” kata beliau.
Shafie akan menghadapi bekas orang kanannya, Ramlee Marahaban di Parlimen Semporna dan sepupunya sendiri, Nasir Sakaran di kerusi negeri Senallang.
Beliau akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Pekan Semporna pagi esok sebelum kembali ke Kota Kinabalu menunggu keputusan.
Warisan dijangka memberi saingan sengit kepada BN pada PRU kali ini yang menyaksikan sokongan terhadap parti tempatan itu meriah di kedua-dua kawasan bumiputera Muslim dan bukan muslim di seluruh negeri.– 8 Mei, 2018.
Komen