Daim selar BN guna dana awam untuk konsert


The Malaysian Insight

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini diselar sekali lagi - kali ini kerana menutup sebelah mata apabila dana awam digunakan bagi penganjuran satu konsert di Langkawi.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa SPR tidak mengambil tindakan terhadap Barisan Nasional (BN) yang menggunakan dana awam untuk menganjurkan Konsert#Langkawi Hebat di Datan Helang malam ini.

Konsert anjuran Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada). Antara artis yang dijangka membuat persembahan ialah Joe Flizzow, Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah dan Ayda Jebat.

Acara cabutan bertuah juga akan diadakan dengan menawarkan hadiah antaranya motosikal, telefon pintar dan dron.

“SPR ini butakah?

“Ketika pilihan raya mereka (BN) hanyalah kerajaan sementara. Macam mana mereka boleh guna duit rakyat?

“Bersih sudah senaraikan 80 kesalahan pilihan raya kepada SPR tetapi tak ada tindakan diambil. Adakah mereka (SPR) ni bekerja dengan kerajaan?” beliau memberitahu wartawan di Baron Villa Resort di Langkawi hari ini.

Konsert tersebut akan diadakan kira-kira 1km daripada tempat di mana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan amanat terakhir sebelum pilihan raya kepada rakyat Malaysia.

Perdana menteri sementara Najib Razak jug akan menyampaikan amanat terakhir beliau kepada rakyat Malaysia di saluran televisyen tempatan.

Daim yang menyertai jelajah kempen PH berkata maklum balas dari pengundi masih menunjukkan yang mereka menderita disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Bila saya bertemu rakyat, mereka kata bisnes tak boleh jalan sebab GST.

“Masalahnya sama saja di Langkawi dan di seluruh negara. Sekiranya kita ambil alih kerajaan, tak ada lagi GST,” kata Daim.

Bekas menteri kewangan itu turut berkata kerajaan baharu yang dipimpin PH akan mengembalikan semula kepercayaan negara-negara di rantau Asia dan akan mengukuhkan ringgit. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen