SELEPAS surat terbukanya kepada rakyat Malaysia menggesa mereka untuk perubahan, bekas menteri Syed Hamid Albar kini menggesa pengundi agar lebih berani menjelang hari mengundi esok.
“Kena ada keberanian dan keinginan untuk berkorban kepada perkara betul. Kita mesti relevan dan beerubah untuk masa depan yang lebih baik,” katanya menerusi Twitter.
“Mari kita fikir sebagai satu Malaysia yang sayangkan negara untuk ada kredibiliti dan integriti pada peringkat negara dan antarabangsa dan hormati dengan kita.”
Beliau turut berkata, Malaysia perlu dibina berasaskan perpaduan, integriti, tanggungjawab dan kepercayaan, dan menamatkan kenyataan dengan satu mesej, “UNDI Satu Harapan”.
Syed Hamid, yang memegang portfolio kabinet di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, turut mengesahkan surat terbuka yang dikeluarkan dua hari lalu yang tidak menamakan mana-mana pakatan politik, adalah bukan sokongan kepada Barisan Nasional.
“Kenyataan saya jelas mengenai perubahan positif, demokrasi dan pilihan raya adil. Bukan tentang sokongan kepada Barisan Nasional.
“Bukan hint. Jelas siapa patut kita undi,” tweet beliau.
Syed Hamid menyertai beberapa bekas pemimpin Umno yang bersuara terhadap kerajaan persekutan BN.
Umno telah memecat bekas menteri Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim kerana berkempen untuk Pakatan Harapan. – 8 Mei, 2018.
Komen