WALAUPUN Parlimen Hang Tuah Jaya menyaksikan persempadanan semula dengan peningkatan peratusan pengundi Melayu, gelombang Pakatan Harapan (PH) kali ini menenggelamkan pengaruh bekas ketua menteri Melaka Ali Rustam, kata penganalisis politik.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata penampilan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang menyertai gabungan parti itu, diikuti dengan beberapa veteran Umno yang menunjukkan sokongan terhadap PH mengukuhkan nama PH di kerusi itu.
“Pengaruh Ali Rustam sudah minima dan sebenarnya tenggelam. Yang pentingnya, di Hang Tuah Jaya dia betul-betul tenggelam dengan gelombang,” katanya kepada Malaysia Decides.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Kartini Aboo Talib turut senada dengan Hisomuddin yang merasakan Barisan Nasional (BN) bakal menghadapi cabaran besar daripada pengundi yang menyokong PKR.
“Saya kira undi popular Ali Rustam mula berkurang ketika kerusi Bukit Katil dimenangi oleh PKR pada PRU13.
“Namun persempadanan semula dan tiga penjuru akan memberi kelebihan pada BN. Cuma sentimen pengundi dengan isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kos hidup dan integriti yang diputarkan oleh PH mungkin mempengaruhi pengundi di Hang Tuah Jaya,” katanya.
Pada PRU13, Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR menang bertanding di kerusi tersebut (sebelum ini menggunakan nama Bukit Katil) dengan undi majoriti 5,447 menentang Ali.
Pada PRU14, kedua-dua calon itu bertemu kembali dan kerusi tersebut kali ini terdiri daripada 63% pengundi Melayu, 31% Cina dan 6% India berbanding PRU13 iaitu pengundi Melayu, Cina dan India masing-masing mencatatkan peratusan undi 53%, 41% dan 6%.
Pilihan raya kali ini juga menampilkan calon dari BN, PH dan PAS. Parti Islam itu diwakili oleh Dr Md Khalid Kassim.
Shamsul ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh ketika pengundian awal mengakui beliau kemungkinan akan menghadapi persaingan yang sengit berikutan persempadanan semula dan pertembungan tiga penjuru.
“Saya dapati persempadanan semula ini beri kelebihan kepada pihak lawan kerana dengan persempadanan semula itu, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menghukum pengundi saya dulu dan menghantar mereka ke Parlimen Kota Melaka. Saya rasa ia tidak adil.
“Kita juga berhadapan dengan persaingan tiga penjuru dan dalam persaingan ini tentulah ia akan jadi sengit,” katanya.
Bagaimanapun, naib presiden PKR itu berkata berdasarkan programnya ketika berkempen, kebanyakan rakyat dari pengundi Melayu sudah tidak tahan dengan kos sara hidup dan masalah ekonomi yang membelenggu hidup mereka.
Hisommudin berkata Shamsul mungkin dapat mengekalkan kerusinya itu atas faktor sedemikian termasuk latar belakang kelompok pengundi di Hang Tuah Jaya.
“Sebenarnya populariti Shamsul pun tidaklah besar tapi dia untung kerana gelombang besar dan kawasan yang diduduki (bertanding) itu boleh dikatakan kawasan penjawat awam yang ‘educated’, ‘high rank’ dan kemudian kelompok pengundi rasional bertemu di situ.
“Bagi saya memang kelebihan kepada Pakatan,” katanya.
Katanya, nama seperti Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz yang turut serta memberi sokongan kepada bekas perdana menteri berusia 93 tahun itu dan PH, ia dapat meningkatkan sokongan kepada PH di kalangan pengundi tegar Umno.
Beliau berkata kini baki penyokong tegar parti Melayu terbesar itu di kawasan tersebut terdiri daripada mereka yang berkepentingan dalam Umno saja.
“Kali ini kawasan Melayu itu berkesan (boleh menang) sekiranya Melayu tak berpecah, Umno tak berpecah.
“Tapi hilang bisanya bila Melayu berpecah. Apabila Melayu Umno itu berpecah,” katanya. – 8 Mei, 2018.
Komen