JIKA dipilih sebagai kerajaan persekutuan, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam tempoh 100 hari pertama, akan melaksanakan pelan kemakmuran untuk semua rakyat Malaysia.
Gabungan itu berkata ia akan menjalankan penilaian tanggungjawab, komitmen, perbelanjaan dan liabiliti berkaitan dengan perolehan, aset dan pendapatan kerajaan dalam tempoh itu.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.
Dengan objektif utama untuk menambah baik “ekuiti fiskal, ketelusan dan kebertanggungjawaban”, penilaian 100 hari pertama akan memfokuskan kepada tiga perkara utama.
Ia termasuk bajet dan kewangan kerajaan persekutuan, pengurusan perakaunan dan liabiliti aset; dan hutang tertunggak kerajaan termasuk hutang jaminan kerajaan, terutama kewajipan luar negara.
Perubahan besar itu akan termasuk melaksanakan pemerolehan kerajaan menerusi tender terbuka; menyemak semula semua projek awam besar terutama yang dibiayai di luar bajet pembangunan; menaksir keseluruhan asas pendapatan kerajaan persekutuan dan mengurangkan pinjaman dan menstrukturkan semula liabiliti.
Sabah dan Sarawak juga akan menyaksikan “pertimbangan khas” susulan komitmen perlembagaan yang dibuat dalam Perjanjian Malaysia 1963 menerusi penstrukturan semua hubungan persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan di seluruh negara.
Kerajaan persekutuan juga akan mengguna pakai perakaunan tertunggak untuk aset kerajaan persekutuan dan meningkatkan rangka kerja pengurusan liabiliti aset yang akan mengenal pasti ketidakpadanan dan risiko.
PH berkata ia akan menilai dan mempertimbangkan instrumen pasaran yang lebih baik untuk menguruskan risiko harga pelaburan dengan lebih berkesan, dengan fungsi perbendaharaan dipertingkatkan dan liabiliti jaminan kerajaan dibaik pulih.
“PH sedar keadaan teruk situasi fiskal kerajaan persekutuan,” menurut kenyataan itu, menambah perubahan itu bertujuan memastikan fiskal yang lebih mapan, inklusif dan peningkatan pertumbuhan. – 8 Mei, 2018.
Komen