SEKURANG-kurangnya dalam tempoh 24 jam lalu, ketua pegawai eksekutif AirAsia Tony Fernandes telah mendahului ahli perniagaan Low Thaek Jho sebagai musuh nombor 1, berikutan kecaman yang diterima di media sosial.
Ketua syarikat penerbangan tambang murah itu menerima kecaman selepas memuat naik video berterima kasih kepada Barisan Nasional kerana “mendahulukan rakyat” dan kemudian dirakam gambarnya bersama perdana menteri sementara Najib Razak berlatarbelakangkan pesawat yang tertera “Hebatkan Negaraku”.
Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan Najib merupakan antara individu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tagline “now everyone can lie” kini tersebar di media sosial sejak Tony dilihat secara terbuka menyatakan sokongannya secara terbuka kepada BN.
Pengguna media sosial di Facebook dan Twitter menyelar ketua syarikat penerbangan itu berikutan berita dan gambar pesawat bertemakan BN tersebar dan melabel beliau sebagai “pengkhianat”.
“Tony Fernandes pengkhianat. Rakyat sokong syarikat penerbangan kamu dan kini kamu khianati rakyat,” kata pengguna Facebook David Gobind.
Seorang lagi pengguna Facebook memuatnaik “Slogan baharu Tony: Kini semua orang boleh korup”.
Yap Yok Fok meluahkan kekecewaannya terhadap Tony kerana bertindak demikian apabila tidak sampai sebulan lalu, beliau menawarkan tiket murah kepada rakyat Malaysia untuk balik mengundi.
“Untuk mengatakan kami kecewa dengan Tony Fernandes adalah satu kesilapan ... yang menolong yang lupa begitu cepat,” katanya.
Satu poster AirAsia yang disunting turut tersebar di media sosial dengan kapsyen: “Kini semua orang boleh undi”.
“Terima kasih Tony. Kebanyakan rakyat Malaysia akan kembali mengundi untuk undi Pakatan Harapan,” papar poster itu.
Pengguna Twitter berkata Tony tidak seharusnya campur tangan dalam politik kerana beliau seorang ahli perniagaan dan tidak sepatutnya menyebelahi mana-mana pihak.
“AirAsia memalukan kerana memihak. Nampaknya wang dan kekayaan lebih penting daripada integriri,” kata pengguna twiiter @mohanaraj_b.
Dua minggu lalu, Tony mendapat pujian rakyat Malaysia kerana menetapkan harga tiket penerbangan bagi membolehkan rakyat balik mengundi pada 9 Mei. – 8 Mei, 2018.
Komen