PADA hari terakhir kempen, timbalan perdana menteri sementara Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi akhirnya tiba di Johor, negeri yang diramal bakal menyaksikan persaingan sengit pada PRU14.
Kemunculan Zahid ketika tempoh kempen hampir tamat kelihatan seperti perancangan saat akhir, dan mencetuskan tanggapan bahawa gabungan kerajaan bimbang tentang ramalan oleh badan pemikir seperti Ilham Center dan Merdeka Centre tentang penurunan sokongan Melayu terhadap BN di Johor.
Merdeka Centre dalam kaji selidik terbarunya yang dijalankan pada 9-16 April lalu menunjukkan sokongan Melayu terhadap BN jatuh 20.9%, menjadi 60.9%. Sokongan Melayu untuk BN dianggarkan sekitar 81.8% pada PRU lalu.
Bagaimanapun, persinggahan sebentar Zahid hanya di Segamat dan Muar – dua kerusi marginal di Johor. Pada 2013, Pengerusi MIC Dr S Subramaniam mengekalkan kerusi Segamat dengan hanya 3%, sementara Razali Ibrahim mempertahankan Muar dengan 4%.
Di Muar, Zahid menyampaikan ucapan ringkas, dan menggesa pekerja akar umbi Umno mengabaikan saja ramalan dan kaji selidik itu.
“Lupakan jangkaan dan ramalan di pihak sebelah sana dan mari kita fokus pada kerja kita,” katanya kepada jentera BN yang terdiri daripada kebanyakannya wakil Wanita Umno.
“Kita dikejutkan pada PRU13 dan bermula lambat pada PRU13. Jadi mari kita tebus semula maruah kita pada PRU kali ini,” katanya di pejabat Umno di Muar.
Walaupun ucapannya ringkas, Zahid sempat menyerang bekas rakan sekerjanya, Muhyiddin Yassin yang bertanding sebagai calon Bersatu di Pagoh.
“Muar kuat sangat hinggakan orang itu tidak mahu bertanding di sini walaupun dia ada ramai saudara di sini,” kata Zahid, merujuk kepada khabar angin sebelum ini yang Muhyiddin mungkin bertanding di Muar.
Pada sidang akhbar, Zahid bercakap tentang faedah dan pencapaian yang dibawa oleh pemimpin BN Najib Razak, berbanding lawannya Dr Mahathir Mohamad.
Secara kebetulan pula, Najib langsung tidak singgah di Johor, negeri yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Umno. – 8 Mei, 2018.
Komen