Gereja Sarawak tidak perlu batal himpunan Kristian, kata Joseph Kurup


Noel Achariam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup berkata pengharaman sambutan 'Jerusalem Jubilee' di Melaka oleh pihak berkuasa difahami tetapi ia tidak sepatutnya berlaku di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2017.

PEMIMPIN gereja di Sarawak tidak sepatutnya membatalkan “All Borneo Revival Convocation” memandangkan ia mendapat restu pemimpin negeri dan Kristian yang membentuk majoriti di negeri Malaysia timur, kata seorang menteri persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup berkata perhimpunan gereja sepatutnya berjalan sebagaimana dirancang di Miri akhir bulan ini.

Berikutan bantahan daripada kumpulan Melayu ke atas sambutan “Jerusalem Jubilee”, yang sepatutnya diadakan di Melaka minggu depan, pemimpin gereja di Sarawak membatalkan acara Kristian di Miri.

Kurup berkata pengharaman sambutan di Melaka oleh pihak berkuasa difahami tetapi ia tidak sepatutnya berlaku di Sarawak.

Bagaimanapun, ia menunjukkan pemimpin Kristian di Sarawak sensitif terhadap perasaan umat Islam di negeri ini.

“Walaupun saya berasa umat Islam di Sarawak tidak mempunyai masalah dengan acara itu, masyarakat Kristian menunjukkan hormat dengan membatalkan acara tersebut.

“Dan kerana sambutan itu dibatalkan oleh pihak penganjur atas kehendak mereka sendiri ia harus dibiarkan begitu sahaja,” kata Kurup memberitahu The Malaysian Insight.

Kurup juga berkata pada bulan Ramadan yang mulia ini ramai orang Kristian menyertai saudara Islam berbuka puasa sebagai tanda penghormatan.

“Di sini, kita semua mempunyai rasa yang sama dan sangat menghormati semua orang, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Pembatalan perhimpunan Kristian di Miri diumumkan walaupun pemimpin Sarawak menyokong majlis itu atas nama kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perhimpunan di Melaka yang akan dianjurkan The Calvary Life Assembly (Chinese), terdiri daripada penganut Kristian tempatan, akan menampilkan beberapa penceramah luar.

Penceramah yang sama dijadual memberi ucapan di “All Borneo Revival Convocation”, yang sepatutnya diadakan di Miri dari 22 hingga 25 Jun.

Ahli jawatankuasa penganjur konvokesyen itu berkata mereka membatalkan acara itu kerana penceramah sama yang sepatutnya menyampaikan ucapan di Melaka juga dijadualkan berucap di Miri.

“Pihak berkuasa tidak mahu penceramah itu datang, jadi kita tidak boleh berbuat apa-apa. Itu sebabnya kita membatalkan acara.

“Penceramah juga memberitahu kami mereka tidak mahu menyusahkan pihak berkuasa Malaysia dan memberi impresi buruk. Jika mereka membatalkan acara Melaka, maka bagaimana mereka boleh datang ke Miri?” katanya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri dalam negeri, mengharamkan “Jerusalem Jubilee” di Melaka.

Zahid berkata acara di Melaka itu akan menjejaskan sensitiviti umat Islam jika ia dibenarkan berlangsung terutama pada bulan suci Ramadan. – 11 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen