PRESIDEN Warisan Shafie Apdal kekal sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas Mahkamah Tinggi Sabah menolak permohonan semakan kehakiman berhubung statusnya.
Hakim Hakim Azhahari Kamal Ramli juga memerintahkan pemohon, ahli jawatankuasa Umno Semporna Mohd Ainal Fattah, membayar RM10,000 kepada Shafie dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dinamakan sebagai responden.
Ainal memfailkan permohonan itu pada 17 April untuk mendapatkan perintah mandamus daripada Mahkamah Tinggi untuk memaksa SPR menolak penamaan Shafie sebagai calon bagi PRU14. Ketua Warisan itu mempertahankan kerusi Parlimen Semporna.
Beliau juga meminta injunksi menghentikan pencalonan Shafie sehingga pengembalian dana sebanyak RM7.5 bilion yang dikatakan hilang semasa Shafie berkhidmat sebagai menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.
Hakim Azhahari berkata kedua-dua responden tidak melanggar mana-mana undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dan menyifatkan permohonan untuk semakan sebagai “remeh dan menyusahkan.”
Shafie diwakili oleh peguam Douglas Lind dan Chung Dun Jiau, manakala SPR diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya Dadi.
“Permohonan itu tidak boleh menjustifikasikan mengapa terdapat keperluan semakan kehakiman, selain itu (pemohon) tidak membuat sebarang percubaan menentang pencalonan Shafie pada 28 April pada hari penamaan,” kata Chung kepada pemberita di luar mahkamah.
Shafie adalah menteri Umno tetapi dipecat daripada Kabinet pada 2015 selepas mengkritik perdana menteri sementara Najib Razak dan keluar parti pada tahun berikutnya untuk membentuk Warisan yang mengetuai cabaran pembangkang terhadap Barisan Nasional di Sabah. – 8 Mei, 2018.
Komen