Tolong ingat Altantuya, kata bapa kepada rakyat Malaysia menjelang pilihan raya 


The Malaysian Insight

BAPA kepada Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh di negara ini pada 2006, menggesa rakyat Malaysia untuk mengingati pembunuhan anak perempuannya menjelang pilihan raya umum kali ini, lapor Malaysiakini.

“Rakyat Malaysia, tolong ingat Altantuya pada pilihan raya.

“Sekiranya rakyat Malaysia buat keputusan salah, kamu semua akan kalah, sama seperti pembunuhan ini (Altantuya),” kata Setev Shaariibuu menerusi satu mesej yang dihantar kepada pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.

Setev meluahkan harapan untuk satu kepada kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas pilihan raya untuk meneruskan saman sivilnya terhadap kerajaan persekutuan sebelum ini.

Katanya, kes anaknya masih belum ada penyelesaian walaupun pembunuhan itu sudah berlalu 12 tahun lalu.

“Juga, 6 Mei adalah hari lahirnya. Dia berusia 40 tahun kalau masih hidup hari ini.

“Memandangkan tarikh hari lahirnya kebetulan dalam tempoh kempen pilihan raya Malaysia, saya ingin menyampaikan pesanan kepada semua rakyat di negara ini - tolong jangan lupakan Altantuya, undilah dengan bijak!” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam.

Setev dan dua anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman pada 2007 yang mana Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan kerajaan dinamakan sebagai defendan.

Pada 2015, Azilah dan Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Sirul bertindak melarikan diri ke Australia sebelum hukuman dijatuhkan dan kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa negara itu yang mana beliau masih ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Sydney. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen