Pakatan sukar tembus kubu kuat BN di utara Selangor


The Malaysian Insight

PAKATAN Harapan dilihat masih sukar untuk merungkaikan cengkaman Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan Melayu di utara Selangor walaupun giat berkempen dengan isu-isu yang dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup  serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

PH sebelum ini meletakkan kawasan Parlimen Kuala Selangor sebagai pintu masuk untuk menembusi kawasan Melayu itu merangkumi empat kerusi lain iaitu Tanjong Karang, Sungai Besar, Hulu Selangor dan Sabak Bernam.

Lima kerusi Parlimen itu mempunyai 12 daripada 56 kerusi negeri, dan setiap satu kerusi Parlimen mempunyai majoriti pengundi Melayu antara 60 hingga 85%.

Di Tanjong Karang, Noh Omar yang mahu mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1995 masih begitu popular dalam kalangan penduduk termasuk anak muda.

Pengundi ini mengaku terjejas dengan kenaikan harga barang dan GST tetapi bagi mereka semua itu “terbayar” dengan khidmat dan bantuan wakil rakyat.

“Saya sentiasa dibantu Tan Sri (Noh Omar). Beliau berjiwa rakyat,” kata Suradi Ahmad, 58, yang lebih 20 tahun menjadi pesawah.

Seorang pengundi muda Abdul Fatah Shadan, 36, berpendapat wakil rakyat BN itu menjalankan tanggungjawab dengan baik termasuk di kawasan yang tidak menyokong mereka dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Yang terbaru, mereka luluskan bajet untuk buat masjid baru. Jadi saya rasa itu adalah usaha yang sangat dihargai orang kampung,” kata pengurus restoran itu.

“Saya rasa di Tanjung Karang sangat memuaskan kerana semua yang diperlukan rakyat dikotakan contohnya nelayan dibantu, perumahan ada PPR,” kata Zaidah Wahab, 44 tahun, peniaga.

Noh empat hari lepas melancarkan projek perumahan rakyat di Ujung Permatang, dalam kawasan parlimennya, melibatkan pembinaan 250 unit kediaman dengan peruntukan RM48.75 juta. Setiap unit dijual pada harga RM35,000.

Kajian Merdeka Center setakat 1 Mei menunjukkan trend sokongan Melayu terhadap PH yang semakin meningkat pada  27.8% berbanding 20% pada pertengahan April, manakala sokongan terhadap BN merosot daripada 53% kepada 51.2%.

Peningkatan sokongan Melayu itu bagaimana dijangka tidak mencetuskan tsunami perubahan seperti yang diharapkan oleh PH untuk mendapat mandat ke Putrajaya.

Pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar berpendapat demografi penduduk luar bandar seperti Tanjung Karang sememangnya menjadikan kawasan itu kubu kuat BN.

“Di luar bandar, demografinya yang kurang padat penduduk merupakan ciri-ciri yang dimenangi BN.

“Lagipun disebabkan kawasan macam ini menteri-menteri boleh cakap kita boleh buat pembangunan dan orang (pengundi) akan termakan janji,” katanya kepada Malaysia Decides.

Noh yang bertanding untuk kali keenam dicabar calon PAS, Nor Az Azlan Ahmad dan Zulkafperi Hanapi daripada Bersatu yang mewakili PH. Pada PRU13, Noh menang dengan kelebihan 4,394 undi. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen