KUMPULAN pesara tentera menggesa penjawat awam untuk tidak terlibat memusnahkan bukti rasuah sekiranya Barisan Nasional tumbang pada pilihan raya umum kali ini.
“Tinggal hanya beberapa jam sebelum pengundian bermula,” kata Persatuan Patriot Kebangsaan dalam satu kenyataan hari ini.
“Patriot mengingatkkan kepada semua penjawat awam menentang sebarang usaha memusnahkan dokumen penting yang mungkin menunjukkan sebarang ketirisan dalam perbelanjaan dan penganugerahan kontrak. Sebarang tindakan berkenaan adalah jenayah dan kesalahan serius.”
Patriot yang terdiri daripada pesara tentera dan polis menggesa semua pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) “mematuhi undang-undang dengan tegas”.
Menurut Patriot, “insiden” pada hari penamaan calon 28 April “tidak memberi keyakinan kepada rakyat bahawa suruhanjaya berkenaan akan menjalankan tugas dengan baik.”
“Tolong pastikan semua pegawai yang bertugas pada hari mengundi 9 Mei, yang juga penjawat awam dan mungkin mempunyai hubungan politik, menjalankan tugas dengan penuh disiplin dan tidak memihak,” katanya dan menambah sekiranya ia dijalankan secara adil, keputusan pilihan raya “akan diterima sebagaimana yang dimahukan oleh rakyat.”
Patriot turut mengalu-alukan kenyataan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang menyatakan polis berjaya mengekalkan keamanan dan ketenteraman sepanjang tempoh berkempen pilihan raya kali ini.
“Berikutan kepentingannya sangat tinggi, dan sekiranya keputusannya hampir, mungkin terdapat keperluan mendesak kepada pasukan polis untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman dalam tempoh ini berikutan pengumuman keputusan.
Patriot berkata, sekiranya parti yang tewas “cuba mencetuskan huru-hara, dan melanggar akta jenayah; pasukan polis perlu menahan kesemua yang terlibat walaupun sebelum mereka menjalankan jenayah yang dirancang.”
“Patriot mempunyai keyakinan penuh terhadap Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan bersama dengan rakyat Malaysia,” katanya.
“Kami mengesa semua pengundi Malaysia berdaftar untuk mengundi tanpa rasa bimbang dan takut, dan yakin bahawa undi kamu rahsia dan ia tidak boleh dikesan. Sebarang laporan dan maklumat di media sosial yang menyatakn sebalikny adalah tidak benar. Laporan menyatakan mungkin akan berlaku kekecohan dan meminta kamu menyimpan stok bekalan makanan adalah pembohongan dan mempunyai motif untuk menghalang rakyat keluar mengundi. – 8 Mei, 2018.
Komen