JALAN ke Putrajaya akan ditentukan oleh 25 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia yang setakat ini masih jadi saingan hebat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kata kajian terkini badan penyelidik pilihan raya Ilham Center.
Kajian itu mendapati PH selesa di 77 kerusi manakala BN kukuh di 56 kerusi dan PAS pula mencengkam 7 kerusi.
“23 kerusi Parlimen sengit dan terbuka kepada BN dan PH manakala 2 kerusi condong kepada PAS.
“Sekiranya berlaku sedikit lonjakan pada saat akhir, PH dijangka mampu melepasi angka 100 kerusi yang diperlukan untuk ke Putrajaya,” kata Pengerusi Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar.
Kajian itu dibuat hasil tinjauan di lapangan melibatkan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia sejak sebulan yang lalu, antara 7 April hingga 6 Mei, tambahnya.
Tujuh kerusi yang dikuasai PAS menjelang hari pengundian esok terletak di wilayah pantai timur, Kelantan dan Terengganu.
PH pula menguasai 77 kerusi kawasan bandar dan pinggir bandar yang mempunyai gabungan pengundi campuran serta kerusi majoriti pengundi Cina.
BN sebaliknya bertahan di 56 kerusi kawasan majoriti Melayu dan di luar bandar.
Kajian Ilham Center ini juga menunjukkan Johor bakal jatuh ke tangan PH sementara Pulau Pinang dan Selangor masih tidak berpindah kepada BN. Persaingan merebut Kedah dan Perak masih sengit manakala BN berdepan cabaran hebat di Melaka dan Negeri Sembilan.
Menurut Hisommudin, gelombang dari bandar yang bertiup ke seluruh Semenanjung Malaysia sejak beberapa hari ini boleh melonjakkan sokongan rakyat kepada PH, terutamanya apabila sampai ke kawasan luar bandar menjelang hari pengundian esok.
“Kami merumuskan pilihan raya kali ini adalah pertembungan epik dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia,” kata Hisommudin.
Beliau bagaimanapun mengakui analisis menjelang PRU14 ini paling sukar dilakukan kerana pertama kali melibatkan pertembungan tiga penjuru secara besar-besaran serta ada banyak pemboleh ubah yang kompleks.
Ini menyebabkan kajian menjelang PRU14 tidak boleh disandarkan kepada keputusan dan data pilihan raya yang lalu sebagai sumber utama, tambahnya. – 8 Mei, 2018.
Komen