MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung tidak lama lagi,
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia menyokong Dr Mahathir Mohamad untuk membuat perubahan.
Anwar berkata, pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) ternyata bimbang gandingan antara dirinya dan Dr Mahathir sehingga menyiarkan pidatonya lamanya menyerang bekas perdana menteri itu di TV3.
“Dr Mahathir membuktikan dengan kegigihan berjuang; menerima keterbatasan lalu; memohon maaf dan mengorbankan masa dan tenaga untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat dan negara.
“Beliau bersabar menerima penghinaan Umno-BN sambil menumpukan perhatian memperkukuh jentera PH.
“Saya ingin menyeru agar rakyat memberikan dokongan untuk membolehkan beliau memperbaiki kebobrokan negara akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerajaan Umno-BN di bawah pimpinan Najib Razak,” kata Anwar dalam satu kenyataan yang diedarkan PKR kepada media malam tadi.
Anwar yang masih dalam tempoh tahanan penjara kini berada di sebuah hospital di Cheras, Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan.
Pada 1998, Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri pada ketika itu memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.
Semenjak itu Anwar dan Dr Mahathir bermusuh sehingga apabila mereka bertemu di mahkamah pada 2016 selepas Deklarasi Rakyat dilancarkan.
Anwar berkata, pemimpin-pemimpin Umno dan BN hairan mengapa beliau dan keluarganya dapat memaafkan Dr Mahathir dan episod 1998.
“Sewajarnya sebagai Muslim dan naluri insani, kita gembira dengan semangat ukhuwwah, silaturrahim dan persahabatan yang terjalin.
“Saya, Azizah dan sekeluarga tidak menafikan keresahan awal, namun pertimbangan - faaslihu baina akhawaikum - (Sebab itu, perbaikilah (damaikanlah), hubungan antara kedua saudaramu – Al-Hujurat Ayat 10) dan kepentingan negara dan rakyat mengatasi semua perkiraan lain,” kata bekas ketua pembangkang itu.
Menurut Anwar, BN akan terus memainkan isu perkauman untuk menutup skandal-skandal mereka seperti 1Malaysia Development Berhad, Felda dan keperitan rakyat selepas Najib memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Kempen Umno-BN tertumpu kepada usaha menakutkan rakyat terutama masyarakat Melayu kononnya akan diperalatkan DAP.
“Rakyat adalah penentu; bukan wang sogokan tauke atau saudagar kaya; bukan fitnah dan propaganda media yang dikuasai Umno-BN,” katanya.. – 8 Mei, 2018.
Komen