SEHINGGA malam tadi, Najib Razak yakin Barisan Nasional (BN) akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan kejayaan memenangi antara 120 dan 125 daripada 222 kerusi Parlimen.
Tetapi di sebalik keyakinan itu terdapat kebimbangan besar mengenai apa yang akan dikatakan oleh Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya kepada negara pada jam 10 malam ini.
Menurut sumber, perdana menteri sementara memberitahu pembantunya beliau percaya pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan berbuat apa sahaja untuk merebut undi Melayu yang lebih besar.
Putrajaya juga bimbang pemimpin pembangkang akan menggunakan ucapan melalui Facebook Live untuk mendedahkan barisan menteri PH jika berjaya mengalahkan BN pada pilihan raya pada 9 Mei.
Tumpuan Najib terhadap ucapan terakhir Dr Mahathir ketara kerana ia menunjukkan walaupun keyakinannya pilihan raya menyebelahinya, beliau masih percaya mentornya itu masih boleh mempengaruhi undi orang Melayu.
Presiden Umno itu juga dijadualkan berucap kepada negara pada jam 10 malam ini.
Najib memberitahu kumpulan dalamannya yang beliau yakin 120 hingga 125 kerusi menjadi milik mereka, dan BN akan memerintah Malaysia untuk tempoh lima tahun lagi.
Di sisi lain, Pakatan Harapan secara senyap-senyap yakin kemenangan akan menyebelahi dan percaya ucapan Dr Mahathir akan menjejaskan segmen pengundi yang belum membuat keputusan memilih pihak mana.
Pembangkang juga percaya akan ada percubaan untuk menggagalkan ucapan Dr Mahathir daripada sampai kepada rakyat malam ini. – 8 Mei, 2018.
Komen